Volvo ada perancangan besar untuk menjadi sebuah jenama yang hanya mengeluarkan kenderaan elektrik sahaja menjelang tahun 2030. Ini bermaksud, Volvo perlu menggantikan semua model yang menggunakan enjin petrol yang ada dengan unit sifar emisi sepenuhnya. XC60 menjadi model paling laris dan Volvo telah pun mengesahkan model gantian generasi barunya kelak adalah versi elektrik dan akan diperkenalkan sekitar tahun 2024.

Syarikat itu menyelitkan berita berkenaan dalam satu siaran media yang mengumumkan Volvo akan membangunkan bateri bersama rakan niaganya, Northvolt. Syarikat itu merancang untuk terlibat secara 50:50 dalam usahasama berkenaan, yang akan mula membangunkan pusat kajian dan pembangunan di Sweden tahun depan.

Belum ada sebarang perincian yang didedahkan berkenaan XC60 generasi akan datang, tetapi Volvo memaklumkan model terbabit akan menjadi model pertama menggunakan bateri yang dibangunkan hasil kerja sama ini. Memandangkan syarikat ini perlu mendapatkan 15 GWh sel bateri setahun dari kilang Northvolt bermula tahun 2024, dijangkakan model tersebut juga akan diproduksi dalam tempoh yang sama.

Usaha sama itu juga akan membawa kepada wujudnya “gigafactory” bateri Eropah yang akan mula memproduksi pada tahun 2026, dengan kapasiti sehingga 50 GWh setahun. Untuk membangunkan bateri dengan cara mapan berdekatan pusat pemasangannya akan membolehkan Volvo untuk mengurangkan jejak alam sekitar berkaitan pengeluaran dan perolehan bateri, yang mewakili sebahagian besar daripada emisi karbon dalam kitaran hayat kenderaan. Ini juga selari dengan komitmen Polestar untuk menghasilkan kenderaan neutral karbon, Polestar 0, juga pada tahun 2030.

Masih ada beberapa tahun sebelum XC60 akan datang diperkenalkan, jadi masih belum jelas penampilan dan pendekatan menyeluruh yang akan diambil. Jangkaannya ia akan berkongsi banyak perkara dengan SUV elektrik lain, iaitu Polestar 3. Model tersebut, yang akan menggunakan platform Scalable Premium Architecture (SPA2) generasi kedua, akan mula diproduksi tahun depan (bersama XC90) di kilang Ridgeville Volvo, di South Carolina.