Maserati telah pun memperkenalkan model edisi istimewa Ghibli Fragment di Jepun, dengan kerjasama Hiroshi Fujiwara. Beliau merupakan pereka pakaian jalanan, yang juga merupakan pengasas bagi Fragment Design dan merupakan idola bagi budaya jalanan di negara berkenaan.
Edisi Fragment ditawarkan dengan dua pilihan – Ghibli Operanera dan Ghibli Operabianca, yang kedua-duanya diasaskan dari varian GranLusso, satu dengan kemasan glossy/opaque black, manakala satu lagi dengan gloss white/opaque black. Model edisi istimewa ini hanya ditawarkan dengan 175 unit sahaja untuk pasaran global.
Sentuhan luaran yang unik melibatkan lencana Fragment pada gril, roda hitam pekat Urano 20-inci, lencana Fragment khas pada C-pillar, kod “M157110519FRG” pada fender, betul-betul di bawah saluran udara tiga ikonik. Empat karakter pertama mewakili kod ID bagi Ghibli, dan enam digit lagi adalah tarikh (5 November 2019) di mana Fujiwara dan Centro Stile Maserati bekerjasama. Manakala tiga huruf terakhir pula adalah akronim bagi Fragment.
Di dalamnya, Ghibli menerima campuran upholstery Alcantara dan kulit premium, dengan jahitan kontras berwarna perak. Terdapat juga sulaman timbul pada bahagian perehat kepala dan perkataan Ghibli dan Fragment pada tempat duduk. Sementara tali pinggang keledar pula diberikan warna biru gelap.
Ghibli Fragment ini yang dilancarkan ini akan menyertai koleksi kapsul, yang juga ditawarkan dengan kuantiti terhad. Koleksi ini boleh didapati menerusi saluran rasmi Maserati.
Selain pereka pakaian, Fujiwara yang merupakan pengasas bagi budaya jalanan Tokyo sejak tahun 1980, juga merupakan antara DJ yang pertama yang membawa masuk muzik hip hop ke Jepun, serta pernah menjadi produser dan pemain muzik untuk beberapa artis antarabangsa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.