MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

Dilancarkan bersama MINI John Cooper Works 3 Door, MINI Malaysia turut memperkenalkan versi JCW bagi Countryman facelift, yang menerima sedikit perubahan luaran dan dalaman.

Harga atas jalan yang ditawarkan adalah RM375,493 tanpa insurans, di mana ia lebih mahal sebanyak RM19,000 berbanding sebelum ini, namun ditawarkan dengan kit ekstra secara standard. Namun jika harganya ditambah dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan juga waranti dua-tahun tanpa had perbatuan, termasuk waranti lima-tahun dan pakej servis, harganya boleh mencecah RM383,463.

Tiada perubahan di bawah bonetnya, ia masih mengekalkan enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder – sama seperti BMW M135i dan X2 M35i – dengan menghamburkan 306 PS dari 5,000 hingga 6,250 rpm dan tork 450 Nm antara 1,750 dan 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, sistem pacuan semua roda MINI all4 dan juga mechanical locking front differential, membolehkan JCW ini dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 5.1 saat.

MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

Untuk bahagian luaran, ia diberikan sedikit perubahan termasuklah rekaan semula bagi lampu utama LED adaptif (dengan projektor bersegi dan gegelung lampu nyalaan siang), lampu belakang LED Union Jack gelap dan bampar belakang yang lebih bersudut dengan reflektor menegak yang lebih besar.

Manakala bampar hadapan dengan tiga corong pengambilan masih tidak berubah, begitu juga dengan skirt sisi, paip ekzos berkembar dan spoiler pada tailgate. JCW juga didatangkan dengan bumbung merah, perumah cermin sisi merah, jaluran bonet merah dan roda aloi dua-tona Circuit Spoke 19-inci dengan tayar fun-flat serta cakera brek besar 360 mm untuk hadapan dan 330 mm di belakang.

Di dalamnya, JCW menerima paparan instrumen digital lima-inci baharu, sama seperti model elektrik Cooper SE 3 Door dan juga bezel hitam berkilat dan butang di atas dan di bawah pada skrin sesentuh tengah 8.8-inci. Sentuhan unik bagi JCW termasuklah tempat duduk upholstery JCW dengan material kulit Carbon Black dan gentian mikro Dinamica, serta roda stereng balutan kulit Nappa tebal serta kemasan pemuka hitam berkilat bersama jaluran selahan merah.

MINI John Cooper Works Countryman facelift 2021 dilancar di Malaysia – LCI F60 dengan 306 PS, RM375k

Kit standard yang diberikan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong belakang, cermin auto kelam, larasan tempat duduk manual, bantuan parkir, paparan utama, ketersambungan Apple CarPlay, sistem bunyi Harman Kardon 12-pembesar suara, kamera undur, bangku piknik di belakang dan tailgate kuasa bebas-tangan. Dan buat pertama kalinya, JCW turut menerima pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi.

Sama seperti versi 3 Door, JCW Countryman juga kini didatangkan kelengkapan standard termasuk pakej Bantuan Pemanduan, yang ditambah dengan brek kecemasan sendiri dan juga bantuan kekal lorong baharu. Manakala ciri lain seperti enam beg udara, kawalan kestabilan dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang masih dikekalkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required