Ford F-150 Raptor 2021 merupakan model kenderaan terbaru yang akan ditambah kepada barisan Lego Technic yang sebelum ini sudahpun menyertakan model-model lain seperti Bugatti Chiron, Ferrari 488 GTE, McLaren Senna GTR dan banyak lagi. Dijadualkan mula dijual bermula 1 Oktober nanti, set bernombor #42126 akan dijual pada harga USD99.99 (RM416) — satu harga yang masuk akal jika dibandingkan dengan model-model lain Lego.

Untuk harga yang dibayar itu, ia mengandungi 1,379 bahagian untuk dipasang, dengan produk akhirnya ialah versi skala lebih kecil bagi jentera off-roader tersebut dengan ukuran panjang 42 cm, 18 cm lebar dan 15 cm tinggi. Rupa dan reka bentuknya memang menjadi daya penarik utama, tetapi ia juga hadir dengan elemen kejuruteraan yang turut memberi kelainan.

Pada Lego Technic F-150 Raptor ini, ada enjin V6 dengan omboh boleh bergerak terletak di bawah bonetnya. Pintu pula, termasuk untuk ruang barangan di belakang, boleh juga dibuka. Tidak ketinggalan komponen suspensi yang berfungsi serta sistem stereng yang membolehkan kenderaan kecil ini “dikendalikan”.

Ciri yang ada ini menarik untuk dipasang dan dicuba. Namun, set model yang lebih mahal ada menawarkan lebih banyak ciri jika anda mampu menghadam tanda harga yang dikenakan. Sebagai contoh, Lego Technic Land Rover Defender (set #42110) dijual pada harga dua kali ganda lebih mahal, tetapi turut mempunyai aksesori tambahan serta transmisi yang berfungsi dengan tiga differential.