Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

Isuzu Malaysia telah memaklumkan model pikap D-Max 2021 di negara ini telah mencatatkan tempahan melebihi 1,200 unit secara purata dalam sebulan sejak ia dilancarkan pada April lalu. Di mana ia telah melonjak dengan kadar 100% peningkatan untuk tempahannya, sekaligus mencerminkan fenomena global yang menyaksikan kenaikan ketara permintaan terhadap trak pikap terbaharu yang banyak menampilkan ciri yang dinaiktaraf ini.

“Fenomena D-Max serba baharu ini yang melanda beberapa pasaran adalah sesuatu yang membanggakan. Dengan rekaan menarik, tambahan ciri baru dan ciri dipertingkatkan padanya serta reputasi Isuzu yang sudah terbukti turut sama menyumbang untuk meyakinkan pelanggan agar beralih ataupun menaik taraf kepada model D-Max terbaharu ini,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Sebelum ini, hanya sekitar 500 unit untuk purata bulanan bagi tempahan D-Max dan menurut Isuzu Malaysia, corak sama turut dikongsi bersama pasaran lain seperti Australia, New Zealand dan Thailand yang menyaksikan pertumbuhan jualan juga semakin tinggi dengan pelanggan tidak melepaskan peluang untuk memilikinya, didorong oleh rekaan sporty dan segar, aspek ergonomik yang diperkaya serta kejuruteraan yang diperkemas padanya.

Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

Barisan D-Max 2021 menawarkan tujuh varian yang. bermula dengan model Single Cab paling asas, dengan dengan pilihan enjin 1.9 liter (RM88,599) atau 3.0 liter (RM95,538); diikuti oleh 1.9 liter Standard 4×4 manual (RM99,599) atau automatik (RM106,999); Premium 4×4 Automatik 1.9 liter (RM121,549) dan 3.0 liter (RM128,038); dan varian paling tinggi terbaru yang diperkenalkan, X-Terrain 3.0 liter 4×4 (RM141,938).

Ada dua kapasiti enjin yang ditawarkan, dengan yang pertama unit RZ4E-TC 1.9 liter common-rail empat-silinder diesel yang sudahpun diperkenalkan di Malaysia sebelum ini, menghasilkan 150 PS dan 350 Nm tork. Output masih sama, tetapi menurut Isuzu, enjin ini kini lebih lancar dan senyap.

Bagi unit 4JJ3 3.0 liter, ia diberikan penambah baikan dan peningkatan baharu. Ia kini menghasilkan 190 PS dan 450 Nm tork, menampilkan peningkatan sebanyak 13 PS dan 70 Nm berbanding unit enjin 4JJ1 3.0L yang digunakan sebelum ini — memanfaatkan engine head dan pengecas turbo baharu.

Isuzu D-Max 2021 catat tempahan lebih 1,200 unit sejak dilancar April lalu; naik 100% berbanding sebelum ini

Menurut Isuzu Malaysia, varian Premium paling popular di sini kerana ramai yang ingin memanfaatkan kadar cukai jalan yang lebih rendah. Malahan, 61% daripada jualan adalah dari Semenanjung, mengubah corak tradisional dengan nisbah 60/40 yang mana bahagian besar tersebut biasanya disumbangkan oleh pasaran Malaysia Timur.

Manakala model flagship terbaharu, X-Terrain, pula menyumbang sebanyak 17% daripada keseluruhan jumlah jualan. Walaupun dengan kadar cukai jalan lebih mahal, lebih separuh daripada jualan X-Terrain datangnya dari Semenanjung, dengan pelanggan ingin memanfaatkan kelebihan penawaran yang ada padanya seperti Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan ciri keselesaan, kehalusan serta kabin intuitif, rekaan sporty dan menonjol serta pengendalian yang cekap baik di atas jalan berturap mahupun offroad, menjadikannya pilihan bagi pelanggan yang ingin memenuhi aspek gaya hidup.

“Penerimaan terhadap model baharu ini sangat positif, mengambil kira kekangan yang kita hadapi ketika ini untuk mendekati dan mengalami sendiri kelebihannya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan protokol keselamatan yang dikenakan ketika ini. Sasaran semasa kami adalah untuk memastikan serahan trak pikap ini berjalan lancar, selamat dan tepat masa kepada pemiliknya, walaupun dalam mendepani cabaran pengurusan serta logistik baik di pasaran tempatan mahupun global,” tambah Suzuki.

Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT X-Terrain 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required