Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan lanjutan tempoh bagi beberapa perkhidmatan dan transaksi yang tidak boleh dilakukan dari 1 Jun hingga 31 Julai 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan.

Walau pun baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan semua kaunter perkhidmatan JPJ, APAD, Puspakom, dan LPKP Sarawak/Sabah telah pun kembali beroperasi bermula 1 Julai lalu, namun urusan yang terbabit hanya untuk transaksi yang tidak boleh dilakukan secara dalam talian, dan kapasiti kakitangan yang bertugas di kaunter juga tidak melebihi 50%. Tiada sebarang kunjungan secara walk-in diterima, hanya urusan secara temujanji sahaja yang akan dilayan.

Untuk yang perlu melakukan urusan tukar milik, dimaklumkan bahawa laporan Pemeriksaan Tukar Miliki B5 adalah sah sehingga 30 September. Begitu juga yang melibatkan Laporan Pemeriksaan Khas B2, Laporan Pemeriksaan Awalan PG11A dan Laporan Pemeriksaan Awalan Bas PG13B. Kenderaan komersil yang dijadualkan menjalani pemeriksaan bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Julai kini dibenarkan untuk membuatkan penangguhan pemeriksaan di Puspakom, dengan pengecualian dari saman.

Manakala untuk proses tukar hak milik, Sistem MySikap kendalian JPJ kini menyekat secara automatik transaksi dilakukan sekiranya pemilik baharu tidak menghadirkan diri untuk pengesahan biometrik dalam tempoh tujuh hari selepas pemilik asal melakukan proses yang sama. Namun kini, pelanjutan khas diberikan kepada pemilik baharu untuk menyelesaikan urusan tukar hak milik sehingga 30 September 2021.

Bagi nombor pendaftaran kenderaan yang telah tamat tempoh mulai 1 Jun hingga 31 Julai, pelanjutan khas diberikan sehingga 30 September. Begitu juga dengan permohonan nombor pendaftaran rosak/hilang semasa tempoh PKP.

Untuk lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang tamat tempoh bermula 13 Januari 2021, JPJ telah memaklumkan lanjutan khas diberikan sehingga 11 November ini. Begitu juga dengan Lesen Memandu Percubaan (PDL) ke GDL, lanjutan khas diberikan sehingga tarikh yang sama. Manakala bagi penggunaan Permit Memandu Antarabangsa (IDP), pengecualian bagi penggunaannya sah dari 18 Mac 2020 hingga tempoh PKP (termasuk PKPD, PKPB dan PKPP) ditamatkan.

Walau bagaimana pun, JPJ menggalakkan orang ramai agar menggunakan urusniaga dalam talian secara optima atau melalui kioks JPJ, serta tidak terburu-buru berurusan atau pun mendapatkan dokumen fizikal di kaunter JPJ. Ia adalah bertujuan bagi mengelakkan kebanjiran orang ramai secara mendadak di cawangan JPJ (dan rakan niaga) yang dikhuatiri akan mencetuskan ‘Kluster COVID-19’ di pejabat JPJ.