Di bawah pakej Pemulih yang diumumkan oleh kerajaan pada 28 Jun, bank kini menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada semua. Ini sama seperti apa yang ditawarkan ketika PKP pertama tahun lalu.

Sama seperti bank-bank lain, Affin Bank juga telah mengumumkan bantuan Covid-19, dengan program New Repayment Assistance (NRA) Program 2.0 menawarkan penangguhan bayaran semula pinjaman selama enam-bulan atau pengurangan sebanyak 50% bayaran ansuran bagi tempoh sama. Moratorium ini sah untuk semua, baik untuk individu dalam kelompok B40 dan M40 hinggalah kepada kelompok T20 dan perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta mikro.

Affin Bank bagaimanapun tidak menyediakan contoh kiraan bagi penangguhan bayaran itu dalam bentuk angka, tetapi ia akan sama sahaja dengan kiraan yang dikongsikan oleh CIMB dan Maybank. Pokoknya, kadar faedah akan berbeza mengikut jumlah pinjaman, baki tempoh pinjaman serta kadar faedah yang telah dipersetujui, jadi anda perlu periksa sendiri dengan bank sebelum memutuskan untuk mengambil moratorium ini atau tidak.

Perkara penting yang perlu diingat jika ingin memilih moratorium ini adalah ia akan melibatkan tambahan caj faedah. Moratorium bukanlah pemansuhan bayaran semula pinjaman, sebaliknya hanya melibatkan penangguhan. Bayaran semula anda ditangguh, dan menjadikan tempoh pinjaman dilanjutkan selama enam bulan ke depan. Untuk itu, kadar faedah yang perlu dibayar juga akan lebih tinggi disebabkan lanjutan tempoh tersebut.

Tidak seperti bantuan bersasar, anda tidak perlu menyediakan sebarang bukti pemotongan gaji atau kehilangan pekerjaan — tiada dokumen yang diperlukan. Walaupun ia terbuka untuk semua dengan kelulusan automatik, peminjam perlu memohon dengan bank dan menandatangani borang perjanjian pinjaman diubah, kerana semua itu perlu direkodkan ke atas kertas dengan jelas.

Kelulusan adalah automatik bagi peminjam individu, sementara bagi syarikat ia tertakluk kepada penilaian bank dan bukan secara automatik. Kelulusan akan diberikan secara automatik bagi peminjam individu. Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME) juga boleh memohon, tetapi untuk syarikat, ia tertakluk kepada penilaian bank dan bukannya dengan kelulusan automatik. Satu perkara lagi, dengan memilih penangguhan bayaran ini, ia tidak akan memberi kesan kepada status dan rating CCRIS individu.

Presiden dan CEO Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali memaklumkan, pelanggan boleh menjangkakan proses permohonan dan kelulusan yang pantas. “Bank memahami kepentingan moratorium ini terhadap pelanggan yang terkesan dengan Covid-19, dan kami akan mempercepat dan mempermudahkan proses permohonan dan terus memaklumkan pelanggan dalam masa paling singkat iaitu lima hari bagi individu dan 14 bagi syarikat SME,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Individu yang berminat untuk mengambil moratorium daripada Affin Bank boleh menghubungi talian 03-82302222 atau melalui emel affin_assist@affinbank.com.my. Permohonan juga boleh dilakukan melalui borang ini.