Pelumba negara, Jazeman Jaafar bersama rakan sepasukan, Sean Gelael dari Indonesia telah berjaya meraih kedudukan ketiga dalam perlumbaan endurans Siri Le Mans 4 Jam Monza 2021 Eropah dalam kelas LMP2 bersama pasukan Jota Sport yang berpangkalan di UK, Ahad lalu.

Jentera #82 Oreca 07-Gibson LMP2 yang dipandu oleh mereka berdua berjaya menamatkan 125 pusingan, dengan catatan masa empat jam, satu minit dan 31.344 saat. Mereka berada 29.289 saat di belakang jentera #22 Oreca dari United Autosports yang dipandu oleh Tom Gamble, Jonathan Aberdein dan Philip Hanson, yang berada 5.131 saat di belakang pendahulu James Allen, Will Stevens dan Julien Canal yang memandu jentera #65 Oreca dari G-Drive Racing.

Jazeman memikul tanggungjawab memandu dalam kelas LMP2 di Monza sebagai tambahan kepada peranannya sebagai pemandu simpanan dan pembangunan bagi Jota Sport. Ini juga sebahagian daripada peranannya sebagai mentor utama bagi jurutera perintis Malaysia yang telah menyertai pasukan itu melalui Program Tukaran Perintis Teknologi (TTAP) di bawah seliaan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Pernah memenangi perlumbaan dalam Siri Antarabangsar F3 British, Siri Euro F3 British dan siri Formula Renault 3.5, Jazeman turut membantu Jota Sport memenangi LMP2 pada 2018, sebagai barisan pemandua Malaysia semuanya yang turut disertai Nabil Jefri dan Weiron Tan. Mereka bertiga berentap dalam lima perlumbaan tahun itu, memenangi kategori LMP2 dalam perlumbaan endurans Fuji Enam Jam.