Tahun lalu, Kia telah memperkenalkan model Carnival Hi Limousine untuk pasaran negaranya, Korea Selatan, yang ditambah dengan rekaan bumbung tinggi, ruang kepala yang dipertingkatkan (291 mm) dan juga lebih mewah. Kini, MPV terbabit menerima varian baharu yang diberi nama Premium Lounge, model empat-tempat duduk yang lebih kurang macam Toyota Alphard Royal Lounge dan Lexus LM.
Sama seperti MPV buatan Jepun terbabit, barisan ketiga bagi varian Premium Lounge telah dikeluarkan bagi membolehkan tempat duduk belakang diposisikan lebih belakang, sekali gus memberikan ruang kaki yang lebih luas dan selesa. Bukan itu sahaja, ia diberikan fungsi Premium Relaxation Seat , larasan elektrik sepenuhnya dengan material berkualiti tinggi bagi menyalurkan keselesaan yang lebih jitu buat penumpang.
Selain itu, ia turut ditambah dengan upholstery kulit Nappa dengan quilt tiga-dimensi untuk tempat duduk belakang. Konsol tengah juga diletakkan di antara tempat duduk terbabit, dengan meja boleh lipat dan juga skrin sesentuh tujuh-inci untuk mengawal larasan tempat duduk, kawalan suhu, pencahayaan kabin, monitor di atas kepala 21.5-inci dan juga pengurut kaki.
Model Premium Louncg didatangkan dengan pengurut kaki, yang dibangunkan hasil kerjasama syarikat penjagaan kesihatan Korea, Hu-Tech. Bukan itu sahaja, ruang but kini menampilkan rak menggantung pakaian dengan pencahayaan LED termasuk kotak penyimpanan barang di bawahnya. Apa yang membezakannya dengan model Lexus ialah kabin ala gaya limosin dipisahkan antara seksyen hadapan dan belakang.
Model serba mewah ini juga ditawarkan dengan kos yang lebih tinggi mencecah 24.12 juta won (RM88,000) berbanding model tujuh-tempat duduk, menjadikan harga yang ditawarkan ialah 86.83 juta won (RM317,000).
Ciri tambahan bagi model Premium Lounge ini juga senada dengan model 2022 yang lain termasuk penggunaan logo Kia yang baharu, selain diberikan bantuan parkir kawalan, brek kecemasan sendiri dengan undur dalam kelajuan perlahan, kamera kawalan pandangan 360-darjah, bilah pengelap cermin automatik dan sistem pendingin hawa dengan fungsi mould-suppressing after-blow.
Selain itu, ciri baharu yang turut diberikan termasuklah varian Noblesse Outdoor yang menyingkirkan larasan kuasa dan menambah jarak kepanjangan bagi tempat duduk barisan kedua. Ia membolehkan kerusi ditolak ke hadapan, membolehkan penumpang yang berketinggian sehingga 180 cm untuk berbaring di bahagian bonet – dilengkapi dengan tilam udara yang merupakan salah satu daripada pakej aksesori yang dipertingkatkan, termasuk juga dengan tirai dan khemah sebagai penutup bahagian tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.