Tidak tertarik dengan prestasi Hyundai Kona facelift sebelum ini? Kalau begitu, ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu — Hyundai-Sime Darby Motors telah umumkan model Kona 1.6 Turbo akan diperkenalkan tak lama lagi, dan tempahan kini mula dibuka bagi model SUV segmen B tersebut.

Kereta berkenaan akan ditawarkan dalam varian standard dan N Line, kedua-duanya menggunakan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder petrol. Kini dengan teknologi Smartstream G1.6, ia telah dinaik taraf daripada versi sebelum ini dengan penambahan ciri Continuous Variable Valve Duration (CVVD), menjadikannya lebih berkuasa.

Output kuasa meningkat sebanyak 21 PS, menjadikan kuasanya 198 PS pada 6,000 rpm, sementara tork puncak pula pada tahap 265 Nm dari 1,800 hingga 4,500 rpm. Walaupun dengan pertambahan kuasa, pecutan 0-100 km/j masih lagi kekal 7.7 saat. Transmisi pula kekal menggunakan jenis klac berkembar tujuh-kelajuan sebagai penawaran tunggal untuk enjin ini, yang dipacu oleh roda depan.

Buat masa ini, perincian lanjut masih belum banyak didedahkan. Namun melihat kepada dua varian yang akan menjadi penawaran lebih tinggi ini, boleh dijangkakan ia akan hadir dengan barisan kelengkapan yang lebih tinggi daripada yang sudah ada pada varian 2.0 Active ketika ini. N Line akan dibezakan dengan kit badan yang lebih agresif, tentunya.

Perubahan daripada Kona standard termasuklah wajah depan yang lebih sporty dengan bukaan ruang udara lebih besar, splitter depan warna perak dan sirip bucu bampar, serta tiga inlet hiasan di atas gril. Gril itu juga hadir dengan kemasan bentuk Y, dengan bahagian bukaan udaranya lengkap dengan rekaan honeycomb mesh.

N Line juga menerima skirting sisi yang lebih tajam dan bampar belakang rekaan diperkemas dengan bahagian ala diffuser besar, dua muncung ekzos serta corong dan sirip bucu hiasan yang disifatkan akan menambahbaik aliran udara. Mould keliling badan kereta ini juga diberikan warna badan. Melengkapi rupa luarannya ialah rim 18-inci dua-tona aloi unik.

Di dalam, N Line dibezakan daripada versi standard dengan jahitan merah pada kerusi, pedal logam, tombol gear tegak dengan jalur merah dan logo N di stereng, tombol gear dan kerusi. Kain hitam, balutan kulit dan suede adalah pilihan yang ditawarkan nanti.

Turut disahkan ialah sistem bantuan pandu Smartsense yang sudah juga ada untuk varian Active. Ini termasuklah brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki, bantuan lorong lurus, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek, amaran pergerakan kereta depan dan lampu tinggi automatik.

Varian Active juga datang dengan amaran bukaan pintu dan pengingat tali keledar belakang, tetapi tiada kawalan melayar adaptif. Mungkin varian Turbo ini akan menjadi model pertama model itu di Malaysia yang menerima ciri berkenaan, memandangkan harganya dijangka lebih tinggi daripada Varian Active, yang kini dijual pada harga RM136,888 atas jalan tidak termasuk insurans.