Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan angka jualan kenderaan di ASEAN bagi tahun ini setakat Mei 2021. Data berkenaan merangkumi jualan di tujuh negara anggota ASEAN dengan pengecualian Brunei, Kemboja dan Laos.

Tempoh lima bulan pertama tahun 2021 menyaksikan keseluruhannya 1,200,210 kendeaan dijual di semua negara terbabit, berbanding 827,316 unit yang dijual bagi tempoh sama tahun lalu. Ini mencatatkan peningkatan sebanyak 372,894 unit berbanding tahun lalu, atau peningkatan 45%. Thailand menyumbang angka terbesar dengan 363,355 kenderaan terjual, mewakili 34% peningkatan berbanding Mei 2020 yang hanya menyaksikan 270,591 unit sahaja.

Indonesia mengikuti di belakang dengan jualan 320,749 unit kenderaan setakat Mei tahun ini, mencatatkan peningkatan 29% berbanding 248,309 unit yang dijual dalam tempoh sama tempoh sama tahun lalu. Kedua-dua negara ini juga mecatatkan angka berkenaan dengan segmen kenderaan yang berbeza; Thailand menjual lebih banyak kenderaan komersial (213,251 komersial berbanding 150,104 penumpang), manakala Indonesia pula lebih banya jualan kenderaan penumpang (236,884 penumpang berbanding 83,865 komersial).

Malaysia pula menyaksikan jumlah kesuluruhan industri (TIV) 245,932 unit sehingga Mei 2021, mewakili peningkatan 91% berbanding 128,790 unit bagi tempoh yang sama dicatatkan tahun lalu. Daripada jumlah ini, kenderaan penumpang menyumbang sebanyak 220,785 unit, sementara kenderaan komersial 25,147 unit.

Jumlah jualan di rantau ini kebanyakannya kembali meningkat kecuali di Myanmar, yang menjual hanya 5,048 unit kenderaan bagi tempoh itu, menurun 33% berbanding 7,587 unit terjual bagi tempoh sama tahun lalu. Vietnam pula menjual 126,894 unit kenderaan setakat Mei 2021, mencatatkan 53% peningkatan berbanding 83,181 kenderaan yang dijual dalam tempoh sama, tahun lalu. Filipina pula mencatatkan jualan 110,217 setakat Mei 2021 (naik 59% berbanding 69,463 unit setakat Mei 2020), sementara Singapura dengan jualan 28,015 unit setakat Mei 2021, naik 44% berbanding 19,395 unit tahun lalu.

Dari segi pengeluaran di rantau ini, Thailand dan Indonesia mendahului carta, diikuti Malaysia. Thailand di atas dengan 710,356 unit kenderaan dikeluarkan setakat Mei 2021, naik 33% berbanding 534,428 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Indonesia pula mengeluarkan 413,116 unit, peningkatan 17% berbanding 351,954 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Malaysia pula menyaksikan pengeluaran 240,998 unit bagi tempoh seperti dinyatakan tahun ini, hampir dua kali lipat (99%) pengeluaran berbanding 120,874 unit tahun lalu.

Vietnam menghasilkan 82,817 kenderaan setakat Mei 2021, naik 81% berbanding 45,879 unit tahun lalu. Melengkapkan data ini ialah Myanmar dengan pengeluaran 988 unit kenderaan setakat Mei 2021, turun 79% berbanding 4,764 unit tahun lalu.