Suzuki dan Daihatsu mengumumkan bahawa mereka kini menyertai entiti baharu untuk membangunkan kenderaan komersial berkuasa elektrik sepenuhnya serta dengan teknologi pemandu berautonomi yang diterajui oleh Toyota, lapor Bloomberg. Entiti berkenaan telah pun ditubuhkan Toyota pada awal tahun ini, dianggotai dua jenama trak dan bas di bawah Toyota iaitu Isuzu dan Hino.

Langkah ini dilihat akan mengeratkan lagi hubungan antara kesemua jenama automotif tersebut. Suzuki dan Daihatsu bakal mengusai 10% kepentingan dalam kerjasama yang dikenali sebagai Commercial Japan Partnership Technologies (CJPT) berkenaan. Ia juga turut akan membantu pakatan itu untuk memperluaskan fokus mereka bukan sekadar untuk trak, malah turut melibatkan kenderaan yang lebih kecil.

Suzuki dan Daihatsu menyatakan bahawa mereka akan membawa pengalaman luas masing-masing dalam menghasilkan kenderaan bersaiz mini yang diperlukan oleh pengguna dan perniagaan, yang kini berjumlah 31 juta dari keseluruhan 78 juta kenderaan di Jepun, digunakan sebagai keperluan harian rakyat negara berkenaan terutamanya di kawasan pedalaman.

Pakatan CJPT ini akan mengumpulkan sumber bagi menyelesaikan isu yang tidak boleh diselesaikan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan mini secara bersendirian serta mencari pelbagai cara bagi mengatasi masalah kos bagi memberikan teknologi elektrifikasi dan autonomi kepada kenderaan lebih kecil agar ia kekal dapat dijual pada harga mampu milik.

Suzuki kini sudahpun mempunyai kerjasama rapat dengan Toyota, di mana kedua-dua syarikat berkenaan telah menandatangani kerjasama pakatan permodalan pada 2019 bagi berkerjasama dalam pelbagai bidang. Manakala untuk Daihatsu yang sudahpun menjadi subsidiari Toyota sejak 2016, pakatan baharu ini akan mengembangkan lagi skop kerjasama mereka dalam lapangan aplikasi kenderaan komersial mini.