Masalah kekurangan bekalan semikonduktor dalam industri automotif dunia yang sudah berlaku sekitar satu tahun bukan lagi satu rahsia. Ia memberi kesan besar kepada banyak pengeluar apatah lagi waktu permintaan sedang kembali naik sekarang. Walaubagaimanapun, menurut laporan Reuters, seorang pakar ekonomi menjangkakan masalah ini akan berakhir tidak lama lagi.

Semasa Forum Pasaran Global Reuters, ketua ekonomi ING Greater China, Iris Pang telah memberitahu bahawa China mungkin akan mengambil sedikit permintaan pengeluaran daripada Taiwan kerana jumlah pengeluaran dan operasi pelabuhan di negara itu mengalami masalah disebabkan kekangan yang dibuat kerana Covid-19. Disebabkan itu, beliau memberitahu, syarikat semikonduktor Taiwan sedang meningkatkan pengeluaran di China.

“Dalam aspek GDP, China menerima lima peratus daripada kekurangan bekalan cip ini – syarikat semikonduktor Taiwan telah membuat perancangan yang bagus dan membina kilang yang besar di tanah besar China,” kata Pang. “Pengeluar semikonduktor Taiwan bersiap untuk membuat cip kenderaan, jadi kekurangan cip automotif akan diselesaikan dalam masa beberapa minggu lagi. Masalah kekurangan cip bagi barangan elektronik lain pula masih berterusan.”

Pang menjangka kekurangan bekalan cip ini akan memberi impak kepada pengeluaran telefon pintar pula selepas ini, dan menyebabkan kelambatan pada pengenalan model baru. Peserta lain di forum sama turut berkata kekurangan bekalan cip ini secara meluas mungkin boleh berterusan sehingga suku kedua tahun 2022, dengan Pang pula menambah pelombong matawang kripto sekarang malah sedang cuba untuk menggunakan kembali cip terpakai.

Jangkaan Pang untuk industri automotif boleh dikatakan agak optimis memandangkan Mazda, Jaguar dan Renault menjangkakan kekurangan bekalan ini akan terjadi sehingga 2022. Ini kerana mereka terkesan dengan kenyataan CEO Stellantis, seperti dilaporkan oleh Automotive News Europe, yang menyatakan beliau sendiri tidak pasti dengan keadaan sebenar dan tiada tanda pengeluaran tambahan dari sumber Asia akan pergi ke negara Barat dalam masa terdekat ini.