Minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan model facelift E-Class W213 baharu yang ditawarkan dengan dua varian iaitu E 200 Avantgarde berharga RM326,943 dan E 300 AMG Line pula RM375,432, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

Harga tersebut adalah selepas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), di mana model terkini E-Class ini adalah hasil pemasangan tempatan (CKD) seperti mana model pre-facelift sebelum ini. Setiap pembeliannya juga didatangkan dengan waranti empat-tahun dan perbatuan tanpa had.

Kebiasaannya, sebelum ini, kami akan menyiarkan foto galeri untuk varian baharu selepas beberapa ia dilancarkan, tetapi disebabkan SOP sekarang yang ketat, jadi agak sukar untuk kami membuat fotografi. Walau bagaimana pun, kami menerima beberapa foto daripada Jason Lai, penasihat jualan Cycle & Carriage Bintang PJ Autohaus, untuk para pembaca melihat sendiri beberapa sudut atau bahagian utama kedua-dua varian ini.

Perubahan gaya yang dilakukan pada bahagian hadapan termasuklah padanan gril baharu yang lebih nipis berbanding sebelum ini, dan untuk varian Avantgarde, ia diberikan gril berbentuk heksagon, dua jalur krom melintang serta kemasan dalam jalur menegak warna hitam.

Varian AMG Line pula menggunakan gril berbentuk trapezoid yang cuma mempunyai satu jalur krom melintang di tengah, bersama kemasan bintik warna krom. Ia juga mempunyai bampar yang lebih agresif, dengan bukaan udara hiasan yang lebih besar di bahagian bucu.

Ciri persamaan bagi kedua-dua varian bonjolan atas bonet serta dua muncung ekzos di belakang, tetapi dengan kemasan krom yang berbeza. Satu lagi perubahan luaran pada model facelift ini adalah lampu belakangnya, yang kini lebih lebar dan bersambung sehingga ke but. Varian AMG Line diberikan roda lima-jejari berkembar AMG 19-inci, sementara unit tanpa-AMG dengan 18-inci untuk Avantgarde.

Papan pemuka di bahagian dalam masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi perubahan utama yang diberi adalah pada sistem infotainmen, yang kini menggunakan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) secara standard bagi kedua-dua varian, dan datang sekali dengan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada skrin 12.3-inci – panel instrumen digital dan skrin sesentuh.

Varian E 200 diberikan roda stereng kulit Nappa, yang menampilkan butang kapasitif Touch Control, gabungan kemasan kayu dan aluminium, pengawal pendingin hawa dua zon Thermatic, lampu suasana, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, penghadang cahaya kawalan kuasa di cermin belakang serta tempat duduk yang dibalut kulit buatan Artico.

E 300 pula mendapat rekaan stereng lebih sporty, yang termasuk dalam pakej AMG Line, sementara senarai kelengkapannya pula ditambah dengan bumbung panoramik, kawalan pendingin hawa tiga zon, alas kaki AMG serta sistem bunyi Burmester.

Kedua-duanya diberikan enjin empat silinder 2.0 liter turbo, dengan unit pada E 200 mampu menghasilkan 197 PS (194 hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 320 Nm dari 1,650 hingga 4,000 rpm. Pada E 300 pula, enjin ini mampu menjana 258 PS (255 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 370 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Jumlah ini masih lagi sama seperti E 200 dan E 300 sebelum ini.

Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic, yang menghantar kuasa kepada roda belakang, dengan E 300 mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j sementara E 200 pula mencatat 7.4 saat dan 240 km/j. Turut diberi adalah pemilih mod pemanduan Dynamic Select dan suspensi Agility Control.

GALERI: Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 2021

GALERI: Mercedes-Benz E 200 Avantgarde W213 2021