Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

Land Rover Defender generasi baharu yang diperkenalkan buat pertama kali di Frankfurt pada September 2019 bakal tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, berdasarkan spesifikasinya yang telah pun muncul di laman sesawang rasmi Land Rover Malaysia.

Berdasarkan konfigurator untuk Defender ini yang telahpun muncul di laman berkenaan, nampaknya pasaran tempatan bakal menerima model dalam versi badan Defender 90 (tiga-pintu, jarak roda pendek) dan juga Defender 110 (lima-pintu, jarak roda panjang), serta kedua-dua versi ini masing-masing akan ditawarkan dalam varian First Edition.

Selain dari varian istimewa berkenaan, kedua-dua Defender 90 dan Defender 110 pasaran Malaysia ini akan jual dalam lima varian iaitu model asas, S, SE, HSE dan juga X. Kedua-duanya juga tampil dengan pilihan enjin sama ada 2.0 liter turbo 300 PS atau 3.0 liter enam-silinder bersama sistem hibrid ringkas yang menjana 400 PS.

Kedua-dua jenis enjin ini boleh dipilih untuk kesemua varian yang ditawarkan, kecuali Defender X dan First Edition yang hanya hadir dengan enjin 3.0 liter. Kesemua versi ini juga ditawarkan dengan kotak gear automatik bersama transfer case pacuan empat roda dua-kelajuan, serta sistem Terrain Respond diberikan secara standard. Buat masa sekarang, pasaran Malaysia belum ditawarkan dengan model yang dijana oleh rangkaian kuasa plug-in hybrid dan juga enjin diesel.

Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

Untuk model asas, Defender 90 akan hadir standard dengan lampu LED, rim besi Style 5093 18-inci dalam kemasan putih berkilat bersama tayar jenis All-Season, serta tanpa pilihan warna badan dua-tona. Untuk bahagian dalaman, model ini menerima papan pemuka dengan palang ‘cross-car’ dalam kemasan powder coat kelabu, kabin walk-through dan juga cermin pandang belakang malap-sendiri.

Model asas ini juga diberikan upholsteri fabrik, tempat duduk hadapan larasan separa berkuasa lapan-hala, bersama sistem infotainmen Pivi Pro dengan skrin 10-inci, pek Smartphone, sistem navigasi Connected Navigation Pro, dihubungkan kepada sistem bunyi 180-watt dengan enam-pembesar suara.

Sistem bantuan pemanduan untuk model asas ini pula terdiri dari kamera sekeliling 3D, bantuan parkir 360-darjah, wade sensing untuk meredah air, cruise control bersama pengehad kelajuan, bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik, pengenal papan tanda trafik dan juga pengehad kelajuan adaptif.

Versi asas ini juga diberikan ciri-ciri keselamatan pasif seperti enam-beg udara termasuk beg udara tirai dan toraks. Kelengkapan yang diberikan pada model asas Defender 90 dan Defender 110 kedua-duanya adalah sama.

Model Defender 90 S pula menerima lampu hadapan LED bersama bantuan lampu tinggi automatik, manakala untuk roda ia diberikan rim 19-inci enam jejari Style 6010 dalam kemasan gloss sparkle silver. Untuk bahagian dalaman pula, ia hadir dengan upholsteri kulit berbutir dan juga kemasan tempat duduk tekstil tenunan lasak, bersama tempat duduk hadapan larasan separa berkuasa 12-hala.

Defender 90 S ini juga diberikan roda stereng dan tombol gear balutan kulit, manakala konsol tengahnya juga diberikan perehat tangan. Untuk sistem infotainmen pula, skrin Pivi Pro 10-inci tersebut ditingkat taraf dengan paparan interaktif. Juga sama seperti model asas, spesifikasi kelengkapan Defender 90 S ini adalah sama dengan Defender 110 S.

Beralih kepada varian pertengahan Defender SE, ia ditambah dengan lampu hadapan LED Premium bersama lampu nyalaan siang signatur, lampu kabus hadapan, sistem kemasukan tanpa kunci dan juga pembuka pintu dengan warna badan. Roda untuk model ini disertakan dengan rim 20-inci lima-jejari Style 5904 dalam kemasan gloss sparkle silver.

Bahagian dalaman Defender SE ini dilengkapi dengan cermin pandang belakang ClearSight dan juga kolum stereng larasan elektrik. Ia juga diberikan tempat duduk hadapan larasan elektrik 12-hala dengan memori, perehat kepala larasan manual, serta upholsteri kulit berbutir bersama tekstil tenunan lasak.

Sistem infotainmen bagi model SE ini masih lagi sama seperti Defender S, tetapi menerima audio dipertingkat menampilkan sistem bunyi 400-watt Meridian bersama 10 pembesar suara dan subwoofer. Sistem bantuan pemanduan pula ditambah dengan bantuan titik buta.

Varian kedua tertinggi, Defender HSE pula menerima peningkatan kit seperti lampu hadapan LED matrix bersama lampu nyalaan siang signatur serta rim 20-inci lima-jejari berkembar Style 5095 dalam kemasan kelabu gelap berkilat bersama serlahan diamond-turned.

Bahagian dalaman Defender HSE ini ditingkat taraf dengan upholsteri kulit Windsor, tempat duduk hadapan larasan elektrik 14-hala bersama penyejuk, pemanas dan memori serta perehat kepala manual larasan empat-hala. Sistem bantuan pemanduan pula dipertingkat dengan pek Driver Assist. Bermula dengan model HSE ini juga, Defender 90 diberikan bahagian fabrik pada bumbung, manakala Defender 110 pula menerima bumbung panaromik gelangsar.

Manakala model tertinggi yang bukan dari versi edisi terhad, Defender X diberikan bonet hadapan dan juga bumbung berwarna hitam, serlahan-serlahan krom Starlight Satin, angkup brek berwarna oren dan juga mata penunda untuk bahagian belakang. Ia menerima rim 20-inci lima-jejari Style 5098 dalam kemasan kelabu gelap satin.

Land Rover Defender 110 X

Kemasan dalaman untuk Defender X ini pula menampilkan lampu kabin premium bersama palang ‘cross-bar’ kemasan powder coat kelabu gelap, upholsteri kulit Windsor bersama tekstil premium steel-cut, serta tempat duduk hadapan larasan elektrik berkuasa 14-hala bersama fungsi penyejuk, pemanas dan memori serta perehat kepala larasan empat-hala.

Defender X ini juga menerima tingkat taraf sistem infotainmen dengan sistem bunyi surround Meridian 14-pembesar suara dan subwoofer, serta diberikan paparan head-up.

Seperti yang dinyatakan tadi, Defender 90 X dan Defender 110 X ini hanya hadir dengan enjin 3.0 liter bersama sistem hibrid ringkas menghasilkan 400 PS, dan ia turut dipadankan dengan differential aktif elektronik bersama sistem Terrain Response yang boleh dilaras, serta sistem Terrain Response 2.

Namun untuk suspensi, kedua-dua versi badan bagi Defender X ini menampilkan sistem berbeza; Defender 90 X diberikan suspensi udara kawalan elektronik bersama sistem adaptive dynamics, manakala Defender 110 X pula hanya menerima sistem spring gegelung biasa sama seperti varian-varian Defender yang lain.

Land Rover Defender generasi baru bakal tiba di M’sia tak lama lagi – versi 90 & 110, enjin petrol 2.0L & 3.0L

Varian First Edition bagi Defender 90 dan Defender 110 pula dijangka hanya akan ditawarkan dalam jumlah terhad. Ia diasaskan dari model Defender X dan menerima pelbagai perincian unik. Antaranya lencana “First Edition”, bumbung berwarna putih, rim 20-inci lima jejari Style 5098 dalaman kemasan perak berkilat serta tayar jenis All-Season.

Pada bahagian dalaman pula, versi istimewa ini diberikan roda stereng balutan kulit dengan sistem pemanas bersama plat logam “First Edition” pada jump seat hadapan. Bagi sistem infotainmen, ia menerima sistem Pivi Pro dengan skrin 10-inci bersama paparan interaktif pemandu, pek Smartphone, sistem Connected Navigation Pro, dan juga sistem bunyi Meridian dengan 10-pembesar suara bersama subwoofer.

Juga sama seperti Defender X, model First Edition ini hanya hadir dengan pilihan enjin 3.0 liter bersama sistem hibrid ringkas. Namun apa yang berbeza, kedua-dua model Defender 90 dan Defender 110 First Edition akan dipadankan dengan sistem suspensi udara bersama adaptive dynamics.

Buat masa sekarang, Land Rover Malaysia masih belum mengumumkan sebarang harga dan bila model ini akan dilancarkan secara rasmi. Namun dengan kerangka monocoque baharu yang jauh lebih moden berbanding casis ladder frame sebelum ini, bersama pelbagai teknologi yang jauh lebih moden, boleh dijangka ia bakal dijual pada harga yang lebih mahal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required