Infiniti QX80 telah pun dipertingkatkan untuk model tahun 2022 dengan menerima infotainmen baharu, di mana ia adalah ciri standard untuk semua varian SUV berkenaan.

Ia menampilkan paparan skrin sesentuh 12.3-inci baharu, dan menawarkan navigasi dengan panduan lorong sebagai tambahan untuk servis ketersambungan Infiniti InTouch. Selain itu, ia turut diberikan ketersambungan telefon pintar Apple CarPlay tanpa wayar dan juga Android Auto dengan penggunaan USB.

Sementara itu, pertambahan ciri ini turut didatangkan dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar dan audio di dalam kenderaan dijanakan oleh sistem bunyi Bose Premium. Seperti model tahun sebelumnya, QX80 2022 juga masih dibaluti material upholstery kulit untuk tiga barisan tempat duduknya, dengan tempat duduk hadapan bersama fungsi pemanas dan tempat duduk kapten untuk barisan kedua secara standard.

Infiniti QX80 2022 menerima set infotainmen yang dipertingkatkan dengan skrin lebih besar; kabin QX80 2018 (kanan) sebagai perbandingan

Untuk penjana kuasanya, Infiniti QX80 masih dikekalkan dengan enjin 5.6 liter naturally-aspirated V8 petrol, dengan hamburan kuasa 405 hp dan tork 559 Nm. Untuk model 2018, kuasa ini mampu memberikan keupayaan buat SUV bersaiz penuh ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat, dan kelajuan maksimum cecah 210 km/j. Jadi, angka tersebut adalah sama untuk model 2022 memandangkan Infiniti tidak menyatakan sebarang perubahan untuk bahagian mekanikalnya.

Begitu juga dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan, dengan pacuan roda-belakang secara standard atau turut diberikan pilihan All-Mode Four-Wheel-Drive. Walau bagaimana pun, model 2022 ini telah ditambah dengan Intelligent Cruise Control di dalam senarai kelengkapannya.

Untuk harganya pula, Infiniti tidak mendedahkannya lagi, namun merujuk pada model 2021, ia berharga dari US$69,050 (RM291,895) untuk versi 2WD, dan dari US$72,150 (RM304,978) untuk versi All-Mode 4WD.