Selepas beberapa tahun tidak diusik, KTM kini memperkenalkan model baru RC yang terdiri daripada RC390 dan RC125 2022. Untuk RC250, setakat ini masih tidak ada sebarang maklumat, tetapi kami menjangkakan ia akan menyusul tidak lama lagi.

Memandangkan RC125 dihasilkan lebih untuk pasaran Eropah, kita akan melihat kepada RC390. Enjin model sports kelas permulaan ini masih lagi sama, iaitu unit satu silinder 373 cc DOHC, tetapi ia telah diberikan peningkatan untuk menepati tahap emisi Euro 5 serta mendapat kotak angi 40% lebih besar, pemetaan enjin yang ditala semula, lebih tork dan maklum balas yang lebih baik melalui pendikit ride-by-wire padanya.

Turut dipasang adalah sistem ekzos baru yang menggabungkan manifold stainless steel serta peredam bunyi alumninium yang lebih ringan berbanding sebelum ini. Dari enjin, kuasa maksimum sehingga 43 hp dan 37 Nm disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper. Quickshifter untuk penukaran gear lebih pantas dijual secara berasingan.

Pada bahagian elektronik, modul ABS Bosch 9.1 MP baru dipasang pada RC390, untuk memberikan bukan sahaja ABS two-channel, tetapi juga Cornering ABS dan mod Supermoto. Apabila mod Supermoto diaktifkan, ABS belakang dan Cornering ABS ditutup.

Panel instrumen RC390 kini mengikuti Duke 390, dengan menggunakan skrin TFT-LCD berwarna penuh, dan boleh disambungkan kepada telefon pengguna untuk menerima/menjawab panggilan serta memainkan lagu. Semua lampu pada model ini menggunakan unit LED sementara lampu hadapan dilengkapi DRL.

Panel badan RC390 mendapat banyak inspirasi daripada jentera GP16 yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP, dengan ciri aerodinamik serta pengurusan angin untuk membantu sistem penyejukan diambil penting waktu pembangunan.

Ciri ergonomik motosikal ini turut dirujuk semula, dengan kini ia menggunakan pemegang yang boleh dilaras sebanyak 10 mm, geometri peletak kaki yang lebih baik untuk membelasah selekoh dan lebih ringan, serta tempat duduk yang lebih selesa dan dibalut dengan bahan yang lebih mencengkam.

Pada bahagian suspensi, RC390 mendapat fork WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan serta lantunan sementara di belakang menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban. Brek menggunakan cakera 320 mm tunggal dengan angkup Bybre empat piston di hadapan dan cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang.

Rim RC390 kini dapat memberikan berat putaran 3.4 kg lebih ringan, dan ia dibalut dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Secara keseluruhannya, RC390 mencatat berat 158 kg dan ia didatangkan dengan tangki minyak 13.7 liter.