Dilancarkan awal Julai tahun ini, Volkswagen Arteon facelift terbaru ini ditawarkan dalam varian tunggal 2.0 TSI 4Motion R-Line yang dijual pada harga RM248,693 atas jalan tidak termasuk insurans (mahal RM27,000 berbanding versi sebelum ini). Kini, kami bawakan galeri penuh untuk anda dekati perincian model terbabit.
Ambil maklum yang harga dinyatakan ini sudah mengambil kira pengecualian SST, dalam kes ini sebanyak 100% kerana Arteon ini dipasang CKD di Pekan, Pahang. Termasuk dalam harga tersebut ialah jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan tiga tahun servis percuma.
Dari segi penampilan, rekaan gril Arteon ini diberi sentuhan semula dengan lanjutan ke bahagian jalur lampu LED pada DRL. Lampu belakang juga hadir dengan grafik baru, termasuk bentuk L. Kemasan R-Line menjadikannya lebih agresif, terutama pada bampar depan dengan bilah bukaan udara dalam warna badan serta diffuser belakang warna hitam serta empat muncung ekzos hiasan. Kereta ini juga yang pertama di Malaysia menggunakan logo baru Volkswagen.
Bahagian dalam diberikan lebih banyak perubahan. Corong udara bersegi dan jalur perak di separuh kabin antara tambahannya. Juga, tiada lagi jam analog di tengah. Turut diberikan ialah suis yang sensitif terhadap sentuhan untuk kawalan pendingin serta stereng rekaan baru. Tidak ketinggalan pencahayaan suasana dalam 30-warna. Kerusi ErgoComfort pula menampilkan rekaan agresif dengan bahagian perehat kepala bersepadu dengan logo R.
Kuasanya dijana oleh unit EA888 2.0 liter turbocas empat-silinder, kini menghasilkan 280 PS dari 5,100 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm antara 1,700 dan 5,600 rpm. Ini 50 PS lebih rendah berbanding model spesifikasi Eropah, tetapi mewakili peningkatan sebanyak 90 PS dan 30 Nm berbanding model sebelum ini. Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, dengan pacuan kini dihantar ke semua empat roda melalui sistem 4Motion. Dengan kelengkapan yang lebih banyak, ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.
Kelengkapan standard pula kekal sama, termasuklah lampu utama LED penuh, lampu balakang LED dengan lampu isyarat sequential dan rim 19-inci Montevideo dua-tona warna seperti sebelum ini. Di dalam, Arteon kekal menggunakan balutan kulit Nappa dengan corak gentian dan lengkap dengan sistem bunyi Harman Kardon 700-watt dengan 12-pembesar suara (sebelum ini menggunakan unit Dynaudio).
Turut melengkapinya adalah ciri tanpa kunci, butang Push Start, kerusi depan larasan kuasa dengan memori untuk pemandu, kawalan pendingin tiga-zon, pengilap dan lampu automatik, cermin pandang belakang anti-silau, skrin sentuh Discover Pro 9.2-inci dengan kawalan gerakan, Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto, penyerap hentak adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360-darjah dan pintu ruang belakang tanpa kendalian tangan.
Dari sudut keselamatan, Arteon menerima ciri bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, enam beg-udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, brek pasca-perlanggaran dan ISOFIX. Bagaimanapun, kereta ini masih tidak dilengkapi dengan ciri brek kecemasan autonomous, walaupun hadir dengan kamera untuk ciri pengekalan lorong.