Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan penggantian lesen memandu, cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor/LKM) dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC) bakal diberikan secara percuma kepada semua mangsa banjir di Titi Hayun di daerah Yan, Kedah Darul Aman. Inisiatif gantian dokumen ini adalah secara percuma dan hanya berkuatkuasa dari 6-16 September 2021.
Namun demikian, menurut JPJ, pemilik-pemilik dokumen berkenaan haruslah membuat laporan polis mengenai kehilangan/kerosakan dokumen tersebut dan perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak, untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana Pejabat Kaunter JPJ Negeri, atau Cawangan JPJ, Kedah.
“Pihak JPJ juga mengambil pendekatan untuk memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian, yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, sehingga bencana ini terkawal sepenuhnya.
“Bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani fenomena banjir di kawasan yang terkesan ini juga, pihak JPJ di seluruh negara akan selalu berada dalam bersiap siaga untuk menghulurkan apa-apa bentuk bantuan sama ada dalam bentuk tenaga manusia atau dalam mengatur gerak aset-aset JPJ sekiranya diperlukan,” ujar JPJ menerusi kenyataannya.
Pada 18 Ogos lalu, Titi Hayun di daerah Yan telah dilanda fenomena kepala air dan tanah runtuh mengakibatkan kawasan sekitarnya mengalami banjir lumpur yang teruk dan banyak kerosakan berlaku. Kejadian tersebut turut mengakibatkan lima orang mangsa kehilangan nyawa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.