Pada Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan perkhidmatan teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Di mana kapasiti penumpang bagi setiap teksi dan e-hailing adalah dua orang sahaja iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang yang duduk di tempat duduk belakang.

Walau bagaimana pun, bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital serta mendapat surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan di aplikasi MySejahtera atau bagi tujuan kecemasan, perkhidmatan tersebut dibenarkan tiga penumpang termasuk pemandu.

Namun demikian, perkara ini kurang dipersetujui oleh para pemandu teksi dan menerusi persatuan yang mewakili mereka iaitu Gabungan Teksi Malaysia, satu surat permohonan telah dihantar kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mempertimbangkan kelonggaran SOP kapasiti penumpang, laporan Berita Harian.

“Oleh kerana negara kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan banyak sektor sudah dibenarkan beroperasi, pemandu teksi merayu kepada kerajaan supaya SOP ketika ini yang dikenakan kepada kami diberi sedikit kelonggaran. Benarkan kami membawa sekurang-kurangnya dua orang penumpang atau jika boleh lebih dari dua orang,” kata Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Hussain.

Tambah beliau, pihaknya amat berharap agar rayuan yang dikemukakan menerusi surat kepada menteri terbabit diberikan perhatian dan dipertimbangkan sewajarnya.