Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

Ducati Multistrada V4 2021

Model adventure touring Ducati Multistrada generasi keempat yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Multistrada V4, pada harga RM135,900 dan Multistrada V4S pada harga RM146,900.

Peningkatan utama pada model ini adalah enjin V4 Granturismo, yang berkapasiti 1,158 cc, dengan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan 125 Nm tork pada 8,750 rpm. Enjin ini berbeza berbanding enjin V4 pada model lain, dengan Ducati memanggilnya sebagai versi “touring” dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan (quickshifter untuk V4S).

Enjin ini tidak menggunakan sistem injap Desmodromic dan saiznya adalah lebih kecil dan lebih ringan – berat keseluruhan cuma 6.7 kg dan 1.2 kg lebih ringan berbanding enjin Testastretta DVT pada Multistrada 1260, meskipun mempunyai lebihan dua piston. Berat Multistrada V4 adalah 215 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 22 liter.

Ducati Multistrada V4 2021

Multistrada V4, yang merupakan versi asas menggunakan suspensi Marzocchi, yang terdiri daripada fork 50 mm boleh laras sepenuhnya, serta monoshock di belakang, dengan jarak gerak masing-masing 170 mm dan 180 mm. Brek hadapan versi ini menggunakan angkup Brembo empat piston radial M4.32 manakala di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD lima inci warna penuh dan lampu menggunakan unit LED (bersama DRL).

Versi lebih tinggi pula, iaitu Multistrada V4S, dipertingkat dengan skrin TFT-LCD 6.5 inci dan angkup brek hadapan Brembo Stylema empat piston manakala suspensi pula ditambah dengan sistem elektronik Ducati Skyhook yang boleh memberikan fungsi auto levelling (masih lagi unit Marzocchi dengan jarak gerak yang sama seperti Multistrada V4). Penambahan lain adalah sistem Vehicle Hold Control, lampu membelok LED, sistem tanpa kunci, Blind Spot Detection dan Cruise Control.

Sistem radar baru Ducati diberikan terus pada Multistrada V4S. Sistem ini dibangunkan bersama Bosch dan dapat memberikan fungsi Adaptive Cruise Control yang boleh mengawal jarak dengan kenderaan di hadapan serta pengesan titik buta.

Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

Ducati Multistrada V4S 2021 dengan aksesori tambahan

Pelbagai teknologi canggih dipasang pada Multistrada V4 termasuk sistem Cornering ABS Bosch-Brembo 10.3ME, Traction Control, Wheelie Control dan Vehicle Hold Control. Untuk suspensi Skyhook pula (V4S), ia boleh melaras sendiri ketinggian mengikut tetapan satu penunggang, penunggang dan pembonceng ataupun penunggang dengan beg barangan. Sistem pemerhati tekanan angin tayar pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

Sistem elektronik lain dapat dilihat pada panel instrumen LCD, yang mana apabila ditambah dengan Ducati Connect System, boleh disambungkan dengan telefon pintar dan memaparkan peta navigasi serta memberi arahan petunjuk. Sistem ini juga boleh dipasang dengan modul Ducati Connect untuk mengawal fungsi telefon dan muzik menggunakan butang pada pemegang. Tempat khas meletakkan telefon disediakan atas tangki dan datang sekali dengan pengecas USB.

Ada empat mod yang disediakan pada Multistrada V4 iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro. Dalam mod Sport, semua 170 hp dapat dinikmati, suspensi diletakkan dalam mod Sport, Traction Control dan Wheelie Control pada tahap rendah dan ABS pada tahap nombor 2.

Ducati Multistrada V4S 2021 dengan aksesori tambahan

Dalam mod Touring, maklum balas enjin adalah lebih lancar dengan Traction Control dan Wheelie Control ditetapkan pada tahap maksimum, manakala dalam mod Urban kuasanya dikurangkan kepada 115 hp bagi memudahkan kendalian dalam trafik sesak atau jalan basah.

Mod Touring mengubah ABS kepada tahap nombor 3, dan fungsi ABS dilaras supaya bersesuaian dengan keselesaan tunggangan jarak jauh. Mod Enduro adalah untuk tunggangan offroad, dengan kuasanya dilaras kepada 115 hp, Wheelie Control ditutup dan ABS cuma berfungsi pada tahap 1 untuk roda hadapan.

Tempat duduk standard penunggang boleh dilaras untuk ketinggian 840 mm dan 860 mm, manakala untuk menjadikan ia lebih rendah, pemilik boleh mendapatkan unit 810 mm atau untuk lebih tinggi, ia berukuran 875 mm. Dua warna disediakan untuk Multistrada V4S, iaitu Ducati Red dan Aviator Grey sementara Multistrada V4 pula disediakan dalam satu warna sahaja, iaitu Ducati Red.

GALERI: Ducati Multistrada V4 2021

GALERI: Ducati Multistrada V4S 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required