Toyota Corolla Cross Modellista JDM diperkenalkan

Toyota Corolla Cross Modellista JDM diperkenalkan

Toyota Corolla Cross baru sahaja dilancarkan di pasaran negara asal jenama berkenaan iaitu Jepun pada minggu ini. Seperti biasa, setiap model pasaran domestik Jepun untuk jenama arus perdana seperti Toyota, ia tentu sekali diperkenalkan dengan barisan aksesori rasmi – ini dia Corolla Cross JDM dengan barisan aksesori lengkap Modellista.

Dengan rupa yang lebih tersendiri, sudah tentu Corolla Cross Modellista JDM ini menampilkan kit yang berbeza dari Corolla Cross Modellista versi pasaran Thailand yang dilancarkan pada minggu lalu. Bagi penggayaan luaran, kit Modellista ini menampilkan spoiler bawah bampar hadapan dua lapis, kemasan tambahan pada bampar belakang dan juga skirt sisi yang sama labuh.

Kesemua ruang roda juga diberikan overfender yang menerima kemasan warna badan, serta dua pilihan rim aloi baharu iaitu 17-inci dan 18-inci, masing-masing dengan rekaan yang tersendiri. Bagi mereka yang sukakan lebih elemen bling, Modellista turut menawarkan kit Cool Shine (boleh dibeli sebagai set atau individu), yang menampilkan kemasan krom untuk gril hadapan, kemasan pintu hadapan, cermin-cermin luaran, serta pembuka pintu dan tailgate.

Toyota Corolla Cross Modellista JDM diperkenalkan

Katalog Modellista untuk Corolla Cross ini turut menawarkan pelbagai aksesori lain. Antaranya pelindung pembuka pintu dengan elemen seperti gentian karbon serta scuff plate untuk pintu hadapan dan belakang, dan “kusyen pintar” yang bukan sahaja boleh digunakan sebagai bantal, malah turut menawarkan ruang storan berkapasiti 17 liter yang boleh dibuka.

Selain itu, pelbagai perincian kecil dari Modellista ditawarkan untuk Corolla Cross JDM ini, antaranya bol-bol keselamatan untuk mengikat plat pendaftaran, lampu LED yang dipasang pada bahagian dalam pintu tailgate belakang dan juga pelbagai lampu LED untuk kabin seperti pada ruang kaki dan juga tiang-B.

Modellista turut menawarkan filem penapis haba dengan pelindungan inframerah dalam dua warna untuk Corolla Cross JDM ini iaitu Smoke dan Dark Smoke, masing-masing memberikan VLT 21% dan 8%. Menurut Modellista, penapis Dark Smoke turut menawarkan pengurangan inframerah lebih baik pada kadar 60%, manakala Smoke pula menawarkan penurangan IR 54%. Namun kedua-duanya memberikan pengurangan ultraungu sebanyak kira-kita 99%.

Tak cukup dengan itu, pakej tingkat taraf audio juga disediakan untuk Corolla Cross ini di mana Modellista menawarkan komponen-komponen dari JBL terdiri dari empat pembesar suara 16 cm, dengan kadar input 55 W dan maksimum 165 W pada takat impedans 3 ohm. Pakej ini datang sekali dengan braket dan pendawaian yang tidak memerlukan anda membuat ubahsuai sendiri.

Toyota Corolla Cross di Jepun dijual dalam versi enjin petrol sepenuhnya dan juga Hybrid. Kedua-duanya dijana oleh enjin 1.8 liter NA di mana model petrol penuh menjana 140 PS/170 Nm, manakala versi Hybrid dengan enjin kitaran Atkinson 98 PS/140 Nm bersama motor elektrik 72PS/163 Nm menghasilkan kuasa maksima 122 PS.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required