Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

Toyota Corolla Cross muncul buat pertama kali di peringkat global lebih setahun yang lalu di Thailand. Ia kemudiannya dilancarkan di pasaran Asia Tenggara yang lain termasuk Malaysia, ke Taiwan dan Amerika Syarikat. Namun bagi pasaran negara asal Toyota iaitu Jepun, Corolla Cross baru sahaja dilancarkan minggu ini.

Walaupun diperkenalkan agak lambat, pasaran Jepun tetap menerima keistimewaannya yang tersendiri kerana ia diberikan rupa berbeza dari pasaran-pasaran lain seluruh dunia. Dalam barisan model SUV Toyota yang ditawarkan di negara berkenaan, Corolla Cross diletakkan di tengah-tengah antara C-HR dan juga RAV4.

Muka Corolla Cross pasaran Jepun ini diberikan pilihan lampu dari jenis projektor hingga LED dalam bentuk kluster hampir sama dengan pasaran lain, tetapi tampil dengan grafik dalam yang berbeza. Bampar dan gril juga tidak sama kerana ia menampilkan gril bahagian atas yang lebih kecil bersama ruang tertutup yang besar, manakala gril bawah pula direka jauh lebih besar.

Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

Konsep perubahan di belakang juga serupa dengan kluster lampu hampir sama tetapi diberikan grafik dalam yang berbeza, sementara pada bampar pula model JDM ini tidak menampilkan kemasan skid plate serta diberikan sepasang reflektor yang nampak lebih ‘tebal’ dan diletakkan secara melintang. Namun pada bahagian lain termasuk pada profil sisi, Corolla Cross di Jepun ini masih nampak sama seperti versi pasaran lain.

Toyota juga tidak memberikan kabin dengan rekaan berbeza untuk Corolla Cross JDM ini, di mana ia masih menerima papan pemuka rekaan yang sama, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah, dan juga tempat duduk yang kelihatan serupa pada Corolla sedan dan hatchback. Kabin SUV ini juga menerima pencahayaan LED bagi memberikan suasana yang “mewah” dan “kasual”.

Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan termasuk meter kelajuan digital bersaiz tujuh-inci, pintu tailgate belakang dengan fungsi tanpa sentuhan, manakala sistem infotainmen turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem navigasi pula ditawarkan secara opsyen.

Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

Bagi sistem keselamatan, Corolla Cross pasaran Jepun ini datang standard dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense. Ia terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki serta penunggang basikal, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, pengenal tanda trafik, dan juga lampu tinggi automatik. Sistem kawalan salah pijak pedal dan juga kamera undur diberikan kepada semua model kecuali varian asas.

Seperti model pasaran lain, Toyota Corolla Cross ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dari varian GA-C, menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan dan juga torsion beam di belakang. Namun bagi model Hybrid yang dilengkapkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four, ia diberikan gandar belakang jenis double wishbone.

Model pasaran Jepun ini dijana oleh enjin 2ZR-FAE 1.8 liter Dual VVT-i, iaitu versi yang sedikit berbeza dengan enjin 1.8 liter 2ZR-FBE di Malaysia. Ia diberikan sistem variable valve lift Valvematic pada kepala silinder, dan ditala bagi menghasilkan 140 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 170 Nm pada takat 3,700 rpm – atau 1 PS lebih besar tetapi 2 Nm tork lebih rendah.

Bagi model Hybrid pula, ia dijana oleh enjin 2ZR dalam versi kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm. Model Hybrid menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS, manakala versi pacuan semua roda diberikan satu lagi motor elektrik bagi memacu gandar belakang.

Transmisi CVT dipadankan secara standard pada Toyota Cross ini. Model petrol sepenuhnya mampu untuk mencapai penggunaan bahan api dalam kitaran WLTP 14.4 km setiap liter, manakala model Hybrid pula mencatatkan 26.2 km setiap liter. Model Hybrid pasaran Jepun ini juga dibekalkan dengan palam outlet AC 100-volt, yang boleh digunakan untuk membekalkan kuasa elektrik dalam situasi kecemasan.

Toyota Corolla Cross dijual pada pasaran Jepun bermula 1,999,000 yen (RM79,400) untuk model asas petrol G “X”, sehingga 3,199,000 yen (RM120,700) bagi model Hybrid Z yang dibekalkan dengan sistem E-Four.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required