Toyota perkenal Corolla Cross untuk pasaran Thailand — platform TNGA, enjin petrol dan hibrid, dari RM132k

Toyota perkenal Corolla Cross untuk pasaran Thailand — platform TNGA, enjin petrol dan hibrid, dari RM132k

Toyota Motor Corporation telah memperkenalkan SUV kompak Corolla Cross sebagai tambahan model terbaru untuk pasaran Thailand. Ia merupakan pengenalan global sulung dengan model berkenaan secara rasminya mula dijual di sana. Pasaran lain akan turut menerima model ini nanti.

SUV ini menggunakan platform TNGA (GA-C) dan dibangunkan denan pendekatan “Corolla Meets SUV”, ia direka untuk menjadi jenis SUV baru yang menggabungkan ketahanan dan kepelbagaian penggunaan yang dapat melangkau jangkaan pengguna. Hasilnya adalah sebuah kenderaan yang sangat selesa, dengan kabin yang luas.

Ini turut disertai oleh penggunaan suspensi jenis torsion beam di belakang yang turut menyumbang kepada kestabilan dan keselesaannya. Suspensi bahagian depan pula menggunakan jenis MacPherson strut.

Toyota perkenal Corolla Cross untuk pasaran Thailand — platform TNGA, enjin petrol dan hibrid, dari RM132k

Dari segi rekaan luaran, ia mempunyai penampilan yang menarik. Wajah depannya tertumpu pada bahagian gril, dengan baris bonet yang jelas yang menerapkan banyak elemen yang menjadikannya kelihatan tirus. Rekaan lampu utama juga tampil dengan pendekatan yang sama, lengkap dengan DRL LED di dalamnya.

Bahagian fender depan dan belakangnya sedikit menggelembung, memberikan imej tegap dan berotot. Untuk disesuaikan dengan nama “cross” yang digunakan, SUV ini lengkap dengan plastik body cladding di keliling bahagian badannya. Satu jalur kemasan krom juga ada berdekatan garis bumbung, ditarik dari depan hingga ke belakang.

Bahagian belakang SUV ini juga tampil kemas, mengingatkan kita pada rekaan yang ada pada model-model SUV Lexus. Lampu belakang “two-piece” tampil ringkas, dengan nama Cross yang terpampang jelas pada bahagian pemegang pintu but belakang. Bahagian bawah bamparnya ada lekuk tersendiri dalam warna badan, sebelum bahagian bawahnya didatangkan dengan bahagian hitam yang lengkap dengan pelapik ala diffuser. Di sudut pula terletak pemantul cahaya.

Toyota perkenal Corolla Cross untuk pasaran Thailand — platform TNGA, enjin petrol dan hibrid, dari RM132k

Ruang dalaman untuk penumpang dan barangan adalah luas. Rekaan dalaman pula banyak menggunakan elemen visual bersegi. Kemasan krom menghiasi garis melintang di sepanjang papan pemuka dan bersambung ke corong pendingin hawa, di tengah terletak sebuah skrin multimedia terapung yang jelas dan kawalan zon pendingin hawa digital yang ringkas.

Sementara itu konsol tengahnya juga membawakan sentuhan rekaan yang sama; moden tetapi ringkas. Bahagian tombol gear juga “bersih”, tanpa ada banyak butang lain di kelilingnya. Ruang untuk barangan kecil dan cawan tersedia sedikit di belakang. Sementara itu, kapasiti ruang barang yang ada ialah 487 liter. Bukaan pintu juga dijadikan sangat luas untuk memudahkan penumpang keluar masuk.

Terdapat dua pilihan enjin ditawarkan untuk pasaran di sana, dengan empat varian semuanya – 1.8 Sport, Hybrid Smart, Hybrid Premium dan Hybrid Premium Safety. Pertama, unit 2ZR-FBE 1.8 liter yang menghasilkan 140 PS pada 6,000 rpm dan 177 Nm pada 4,000 rpm. Ini digandingkan bersama transmisi Super CVT-i yang menyalurkan kuasa ke roda depan. Model paling asasnya dijual pada harga 989,000 baht (RM132,255).

Satu lagi pilihan ialah sistem janakuasa hibrid. Ini disertai oleh unit enjin 2ZR-FXE THS II 1.8 liter. Ia menghasilkan sebanyak 98 PS pada 5,200 rpm kuasa serta 142 Nm pada 3,600 rpm tork. Ia dibantu pula oleh motor elektrik dengan kuasa 72 PS dan 163 Nm dan dipacu oleh kotak gear CVT elektrik. Output maksimum sistem berkenaan ialah 122 PS. Ia dijual pada harga berikut; Hybrid Smart 1.019 juta baht (RM139,295), Hybrid Premium 1.089 juta baht (RM148,945) dan Hybrid Premium Safety 1.199 juta baht (RM163,990).

SUV kompak ini juga mempunyai radius pusingan 5.2 meter. Dari segi dimensi, ia memiliki 4,460 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi dan jarak antara roda pula ialah 2,640 mm. Ia ditawarkan dalam tujuh pilihan warna termasuk Metal Stream Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black Mica, Celestite Gray Metallic, Platinum White Pearl, Nebula Blue dan Graphite Metallic.

Bagi ciri keselamatan, Corolla Cross datang dengan tujuh beg udara sebagai standard, dan Toyota Safety Sense disediakan untuk varian paling tinggi sahaja. Ia itu turut terdiri daripada ciri Pre-Collision System, Lane Departure Alert with Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dengan Lane Tracing Assist, Automatic High Beam, Blind Spot Monitor, peninjau sekeliling dan Rear Cross Traffic Alert.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required