Vespa Malaysia hari ini telah melancarkan model Sprint S 150 baru yang dilengkapi dengan panel instrumen TFT untuk pasaran Malaysia. Harga jualan yang ditetapkan adalah RM19,900 tidak termasuk insurans dan diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

Ditawarkan dalam dua warna istimewa iaitu Bronzo Antico dan Nero Opaco, Sprint S 150 baru ini adalah model Sprint pertama yang menggunakan panel instrumen TFT. Ia boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui sistem Vespa MIA dan bluetooth, dan memberikan fungsi seperti menjawab panggilan, notifikasi, arah navigasi dan pemain muzik.

Selain penampilan unik dan panel instrumen TFT, spesifikasi teknikal model ini masih sama seperti Sprint S 150 yang diperkenalkan sebelum ini, termasuk enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api, i-GET 154.8 cc yang mampu menghasilkan kuasa 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

Untuk suspensi, Sprint S 150 TFT ini menggunakan penyerap hidraulik serta lengan tunggal, dengan jarak gerak 78 mm di bahagian hadapan manakala bahagian belakang pula menggunakan satu penyerap hentak dengan pelarasan pra beban empat tahap dan jarak gerak 70 mm.

Brek hadapan terdiri daripada unit cakera 200 mm dengan sistem ABS sementara di belakang pula menggunakan unit dram. Rim adalah unit 12 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 120/70 di belakang. Perincian lain adalah termasuk lampu LED, tangki bahan api tujuh liter, berat 126 kg, tinggi tempat duduk 790 mm dan jarak antara roda 1,334 mm.