Ketika pengenalan maya bagi model Honda BR-V terbaru di Indonesia sebelum ini, Honda turut mencadangkan bayangan kewujudan sebuah model baru yang disifatkan sangat mengujakan. Kereta berkenaan ditutup dengan kain merah, tetapi bentuknya tetap boleh dilihat; dengan landasan pada bumbung, ia mencadangkan ini sebuah model SUV.
Jadi, model apa sebenarnya ini? Honda memang memiliki barisan crossover yang komprehensif di Indonesia, dengan BR-V, HR-V dan CR-V meliputi semua segmen utama. BR-V kini telah diperbaharui, sementara HR-V dijangka akan ada model gantiannya, tetapi DRL yang berbeza serta landasan di bumbung mencadangkan ia bukanlah model generasi seterusnya untuk HR-V. CR-V juga sudah agak lama bertapak, namun penggantinya belum lagi didedahkan, dan model global penting seperti itu dirasakan tidak akan diberi bayangan dalam pelancaran model peringkat serantau.
Apa yang Honda inginkan ketika ini adalah wakilnya dalam segmen SUV peringkat kemasukan, yang ketika ini dipelopori oleh Peordua Ativa di Malaysia dan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize di Indonesia. Ada kemungkinan Honda sedang mempersiap model SUV kompak lima-tempat duduk atau BR-V tujuh tempat-duduk di sana? Memang ada kemungkinan untuk itu.
Dengan tambahan sebuah model SUV lebih murah akan memberikan kelebihan kepada Honda, membolehkannya memenuhi kelompok pembeli muda. Walaupun pasaran di Indonesia didominasi oleh SUV tujuh-tempat duduk, Raize menjadi model kelapan paling laris bagi kereta penumpang bulan lalu, dengan 2,883 unit terjual, mengatasi Honda Brio. Di Malaysia, Ativa telah mencapai angka jualan 4,624 unit pada April, sebulan selepas dilancarkan.
Untuk ini, Honda memang sudah ada enjin yang sesuai untuk digunakan — unit 1.0 liter turbocas tiga-silinder yang digunakan untuk model City di Thailand, menghasilkan 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm tork dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan CVT untuk pasaran Thailand.
Ada juga dakwaan adanya versi lebih kecil BR-V dengan lima-tempat duduk boleh dijangkakan, lapor OtoDriver. Ada sumber memaklumkan penerbitan itu; “BR-V serba baru adalah kereta yang istimewa. Ia akan menjadi induk kepada model Honda terbaru pada masa depan. Akan ada sebuah SUV kecil yang dibangunkan menggunakan platform ini.”
Ada juga kemungkinan SUV baru itu nanti akan mengambil bentuk kenderaan tujuh-tempat duduk yang lebih kecil berbanding BR-V, membolehkan Honda bersaing dalam segmen Low Cost Green Car (LCGC) yang turut diwakili oleh Brio. Daihatsu Sigra dan Toyota Calya ketika ini mempunyai kedudukan yang kukuh dalam pasaran berkenaan, yang dikuasakan oleh enjin 1.0 dan 1.2 liter.
Apa pun bentuk yang akan ada nanti, ia mungkin tidak akan sampai ke pasaran Malaysia sama sekali. Imej jenama itu di sini diletakkan pada tahap yang tinggi, dan syarikat itu juga mungkin tidak terlalu ada keinginan untuk bersaing secara berdepan dengan Perodua — Honda di sini tidak menjual Brio yang sama saiz dengan Axia, dan BR-V di sini bersaing menentang Toyota Rush sebelum Aruz.
Tetapi, SUV Honda dalam segmen A sentiasa menarik untuk dibayangkan di sini, sekiranya ia mampu dijual pada harga yang kompetitif berbanding Ativa — memandangkan harga naik untuk BR-V tahun lalu, ini bukanlah kemungkinan yang meyakinkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.