Kepada pemilik kenderaan Toyota di Malaysia, ini ada perkembangan penting dan menarik. UMW Toyota Motor (UMWT) telah memperkenalkan aplikasi mudah alih terbaru bagi servis 24Seven Road Assist.

Ini bermaksud, bantuan tepi jalan 24 jam yang sedia ada sebelum ini kini boleh dicapai melalui beberapa sentuhan mudah di skrin telefon. Ia bagaimanapun tidak menggantikan talian bantuan 1-800-888-247, sebaliknya ditawarkan sebagai satu lagi saluran alternatif kepada pengguna. UMWT menyifatkan ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri di Malaysia.

Ada butang SOS disediakan, dan lebih menarik, ada juga ciri pengesan masa nyata untuk melihat di mana lokasi pengguna yang memerlukan bantuan itu terletak, serta bila bantuan akan tiba, sama seperti anda melihat dan mengesan perjalanan penghantar makanan yang anda pesan. Semua ini, termasuk bantuan yang dihantar adalah dari pengedar dan penyedia perkhidmatan sah Toyota sendiri, akan memberikan lebih kelegaan kepada pengguna dalam menghadapi situasi sukar.

Pengguna bahkan boleh meminta bantuan sekecil apa pun, seperti untuk menukar tayar ataupun jika kereta kehabisan minyak. Pengguna juga boleh memilih cawangan Toyota yang mereka inginkan. Servis ini, yang ditawarkan 24/7 sepanjang tahun, di seluruh negara, turut menawarkan baik pulih minor di lokasi dan tundaan (hingga 50 km jarak).

“Kami telah menyediakan Bantuan Jalanan 24Seven Toyota kepada pelanggan sejak 20 tahun lalu. Ini perkhidmatan yang terus diberi penambahbaikan bagi memastikan pelanggan tidak perlu risau ketika berada di jalanan. Dengan perkembangan teknologi mudah alih yang semakin maju, langkah seterusnya bagi kami adalah untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih yang membawa servis ini ke tahap lebih tinggi,” jelas Presiden UMW Toyota, Ravindran K.

UMWT telah menyepadukan aplikasi ini dengan Vehicle Telematics System (VTS) yang dibina ke dalam model-model kenderaan terbarunya. Dengan VTS, kenderaan boleh dipantau menggunakan GPS, dengan lokasi semasanya ditunjukkan dalam aplikasi. Ini tidak hanya akan memudahkan pihak berkuasa mengesan kenderaan sekiranya dicuri, sistem ini juga akan mengesan sekiranya berlaku impak (kemalangan), untuk menghantar bantuan kecemasan secepat mungkin.

VTS juga membolehkan pemilik melihat semula sejarah perjalanan dengan laporan minit-ke-minit, jarak yang dilalui dan tempoh keseluruhan perjalanan. Melalui aplikasi ini, pengguna juga boleh menilai semula corak pemanduan serta menetapkan parameter keselamatan untuk memantau pergerakan orang yang tersayang, misalnya pemandu baru. Aplikasi ini boleh menjejaki beberapa kenderaan dalam satu masa.

“Dengan teknologi makin maju, kereta juga begitu. Ini tidak dapat dielakkan, dan kita telah melihat kenderaan berevolusi sejak 20 ke 30 tahun lalu untuk menjadi lebih selamat, bersih, lebih ekonomikal, menawarkan prestasi lebih baik, dan kini berkembang untuk menjadi lebih pintar dan boleh menawarkan interaksi lebih meluas kepada pemandu. Pengangkutan dan komunikasi bakal saling terhubung untuk memberikan manfaat di masa depan, dalam era keterhubungan mobiliti,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Aplikasi mudah alih Toyota 24Seven Road Assist boleh dimuat turun darip App Store bagi iOS atau Google Play Store untuk peranti Android.