Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius akan kesalahan melanggar lampu isyarat merah yang kerap berlaku terutamanya dalam kalangan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing). Justeru, pihak berkuasa tersebut nekad untuk mempergiatkan operasi khas ‘Ops Merah’ di seluruh negara.

“Rekod di seluruh negara bagi kesalahan melanggar lampu isyarat pada 2019 ialah sebanyak 22,656 kes dan kompaun telah dikeluarkan, manakala pada 2020, jumlahnya agak berkurangan iaitu kepada 12,764 kes disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujar Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ Aedy Fadly Ramli menerusi laporan Bernama.

Kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh disaman di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan kompaun maksimum RM300 dan denda mahkamah tidak lebih RM2,000.

Selain itu, tambah beliau, tujuh kesalahan lain yang sering dikesan ialah tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu tanpa alat bebas tangan, memotong dua barisan berkembar, memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan.

Ditanya mengenai kerjasama JPJ dengan agensi kerajaan lain dalam usaha mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat, beliau berkata pihak berkuasa tempatan disaran untuk memasang kamera litar tertutup khususnya di persimpangan yang sering berlaku kes tersebut.