Awal bulan ini, kami telah pun membawakan galeri penuh Hyundai Kona facelift bagi varian tertinggi N Line. Hari ini, sekali lagi, kami membawakan galeri untuk model yang sama, tapi bukan foto yang dirakamkan di bilik pameran seperti pada artikel terdahulu, kami telah membawa keluar model berwarna Surfy Blue yang memang kelihatan menawan di bawah terik sang mentari.

N Line merupakan model paling mahal dalam barisan Kona yang dipertingkatkan – RM156,888 untuk harga atas jalan, iaitu RM37,000 lebih mahal berbanding varian asas 2.0. Harga ini tanpa insurans, tapi termasuk dengan 50% pengecualian cukai jualan (SST), waranti lima-tahun/300,000 km dan pakej servis percuma 50,000 km.

Model tertinggi ini dipadankan dengan enjin Smartstream G1.6 T-GDi pengecas turbo empat-silinder, sama seperti varian 1.6 Turbo, yang menghasilkan 198 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 265 Nm antara 1,800 hingga 4,500 rpm, menjadikannya 21 PS lebih berkuasa berbanding model Kona 1.6 Turbo pre-facelift.

Model N Line ini lebih menyerupai Kona pre-facelift kerana menggunakan logo di tengah gril dan masih mempunyai jalur bukaan udara di atasnya (tetapi sekarang dibahagikan kepada tiga). Skid plate pada model biasa diganti dengan lip aerodinamik, berserta hujung seperti sirip dan bukaan udara yang lebih besar.

Malahan ia juga nampak lebih lebih garang ini juga menampilkan kemasan pelindung badan pada sekeliling ruang roda diberikan dengan warna badan. Bahagian belakang pula diberikan bampar dengan corong pengambilan palsu dan diffuser besar berwarna hitam serta ditampilkan dengan paip ekzos berkembar. Ciri estetika juga ditambahkan dengan bumbung hitam standard bagi memberikan rupa dua-tona yang lebih bergaya, serta roda aloi gaya-turbin 18-inci.

Menjengah di bahagian dalamnya, kelihatan jahitan merah pada tempat duduk, headlining hitam, pedal metal, tombol gear dengan jaluran merah dan logi N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk. Ia turut diberikan tempat duduk bucket balutan kulit dan sued, pelapik bumbung berwarna hitam, serta tempat duduk hadapan dengan liang dan pemanas bersama larasan berkuasa untuk penumpang.

Selain itu, ciri lain yang turut ditampilkan pada N Line termasuklah skrin sesentuh tengah lapan-inci, enam pembesar suara, lampu utama dan lampu belakang LED penuh, kemasukan tanpa kunci, butang push-start, kawalan suhu automatik zon-tunggal, cermin pandang belakang auto malap, enjin automatik start/stop, kluster instrumen digital 10.25-inci, paparan utama, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

Sama seperti 1.6 Turbo, N Line turut dilengkapi dengan teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan aktif Smartsense. Ini termasuk Penghindar Perlanggaran Titik Buta (BCA) dengan Bantuan Penghindar Litasan Trafik Di Belakang (RCCA), Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA) dan Kawalan Melayar Pintar (SCC) dengan ciri Stop/Go yang membolehkan ciri SCC berkenaan kekal tidak terbatal walaupun kenderaan berhenti sepenuhnya.

Lain-lain ciri termasuk Bantuan Penghindar Perlanggaran Depan (FCA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dengan Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (LVDA), Amaran Penumpang Belakang (ROA), Amaran Keluar Selamat (SEW) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA).