Pertama kali dilihat di Malaysia pada November 2020, model generasi kedua Peugeot 2008 baru-baru ini dilihat pula oleh Irfan Sahar, yang memuat naik beberapa gambar SUV segmen B berkenaan ke laman Facebook Peugeot Citroen Club Malaysia.
Contoh yang dilihat ini nampak jauh berbeza berbanding kelibat sebelumnya, dan 2008 kali ini mengenakan pakej Pace dan bukannya GT Line (jika dirujuk kpeada konfigurator Peugeot Perancis). Antara perbezaan utama ialah rim aloi 17-inci Salamnca, tiada lampu kabus (ada pada Allure dan pakej GT Line) dan muncung ekzos bulat (trapezoidal pada GT Line).
Semua elemen ini melengkapkan lagi penampilan rekaan baru bagi model 2008 berkenaan, yang menampilkan permukaan bersegi seperti yang dapat dilihat ketika model ini muncul pertama kali pada 2019. Perubahan lain termasuk “taring” LED yang menonjol di antara rekaan gril yang juga lebih besar — sama seperti model 208 ketika ini.
Model ini mungkin akan menggunakan enjin 1.2 liter PureTech turbocas tiga-silinder petrol, yang menawarkan kuasa sebanyak 101 hp dan 205 Nm tork dalam talaan asas “100 S&S”, atau 129 hp dan 230 Nm dalam versi “130 S&S”.
Kotak gear manual enem-kelajuan adalah standard dengan versi kuasa yang lebih rendah, sementara yang lebih berkuasa turut menerima pilihan transmisi automatik lapan-kelajuan — yang kedua ini mungkin pilihan paling ideal akan diterima oleh pasaran tempatan kita. 2008 juga datang dalam bentuk prestasi GT, yang tampil lebih garang seperti GT Line, tetapi menggunakan enjin 1.2 liter dengan janaan 155 hp dan 240 Nm, diganding bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Seperti dilaporkan sebelum ini, SUV 2008 dijangka akan dilancarkan di sini pada suku keempat tahun ini dan boleh jadi dalam bentuk CKD yang akan dipasang oleh Naza Automotive Manufacturing (NAM), yang dikawal selia oleh Stellantis Group (nama lamanya PSA Group).
Jualan dan pengedaran model Peugeot di Malaysia ketika ini akan dikendalikan oleh Bermaz Auto Alliance (BAASB), sebuah anak syarikat Bermaz Auto — ia terdahulunya dikenali sebagai Berjaya Auto Alliance apabila usahasama antara Bermaz Auto dan Berjaya Corporation dibentuk tahun lalu untuk mengambil alih jenama Perancis ini daripada Naza Group.
Jun tahun ini, Berjaya Corporations mengambil keputusan untuk melupuskan 51% pegangannya dalam BAASB, membolehkan pegangan Bermaz Auto meningkat dari 20% kepada 55%, dengan pemegang saham lain memiliki yang selebihnya. Dilaporkan, dengan pengurusan baru ini, “jaminan 5+5 tahun” akan disediakan bagi kenderaan baru Peugeot, walaupun ia belum lagi disahkan.
Ketika ini, BAASB menjual Peugeot 3008 dan 5008, kedua-duanya dalam kemasan Allure, dan dilaporkan versi facelift bagi model tersebutnya akan diperkenalkan kelak.