Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Wee Ka Siong memaklumkkan Fasa Dua bagi projek pembinaan MRT Laluan Putrajaya kini sedang berjalan lancar, dengan tahap kemajuan keseluruhan pada 93.52%. Ia dimaklumkan selepas lawatan beliau buat kali kedua bagi meninjau perkembangan projek berkenaan di tapak pembinaan tersebut.

“Melihat tahap kemajuan ini, saya yakin Fasa Dua Laluan Putrajaya ini dapat mula beroperasi seperti yang disasarkan pada Januari 2023. Kita juga yakin Fasa Satu Laluan Putrajaya iaitu dari Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu yang kini hampir 99.9% siap akan memulakan perkhidmatan operasi kurang daripada dua bulan lagi,” ujarnya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.

Menurut beliau, apabila Fasa Satu bermula, rangkaian pengangkutan awam rel Lembah Klang akan diperluas dengan sembilan buah stesen baru seterusnya meningkatkan liputan ke kawasan baru seperti Damansara Damai, Bandar Sri Damansara, Kepong, Jinjang dan Kampung Batu.

“Pembangunan ini akan menjadikan Pelan Pembangunan Rel Bandar menjadi tonggak sejarah yang antara lain dapat meningkatkan taraf pengangkutan dan kehidupan penduduk di Lembah Klang. Pembinaan Laluan MRT Putrajaya ini tepat pada masanya kerana ia menjadi pemangkin penting dalam pemulihan ekonomi negara. Ia membolehkan ramai pekerja dapat kembali bekerja dan kembali menjalani kehidupan normal sebagai satu Keluarga Malaysia.

“Ketika negara bergerak dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan dan semua prosedur operasi standar (SOP) COVID-19 mesti dipatuhi. Kementerian saya akan memastikan bahawa pengendali pengangkutan awam menerapkan SOP ini dengan ketat demi menjamin keselamatan pengguna,” sambungnya lagi.

Selain itu, katanya, kemajuan MRT Putrajaya ini wajar dipuji kerana walaupun berdepan waktu sukar akibat COVID-19 sehingga melumpuhkan aktiviti ekonomi, namun kontraktor dan subkontraktor dapat mengharungi rintangan dengan menyelesaikan kerja-kerja pembinaan sivil dan sistem, dan dalam masa yang sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

MRT Putrajaya merangkumi jarak 52.2 km keseluruhannya – dengan 38.7 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah. Fasa pertama bagi laluan ini yang menelan belanja RM32 bilion dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2021 sebelum selesai sepenuhnya pada 2022. MRT pertama dengan laluan Sg Buloh-Kajang telah beroperasi sejak Julai 2017.