Lebuhraya CSR dijadual siap sepenuhnya pada 2026, sasaran tertunda setahun susulan pandemik – menteri

Lebuhraya CSR dijadual siap sepenuhnya pada 2026, sasaran tertunda setahun susulan pandemik – menteri

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan perkembangan terkini mengenai projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1) dan mengesahkan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

“Ada beberapa kelewatan sedikit disebabkan pandemik COVID-19 dan isu utiliti di beberapa kawasan, namun kita sudah mendapat semula momentum untuk kembali merancakkan pembinaannya supaya dapat disiapkan mengikut rancangan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Projek CSR sejauh 306.8 kilometer (km) dengan kos keseluruhan RM7.3 bilion itu melibatkan enam pakej dengan empat daripadanya iaitu lebih 200 km terletak di dalam Pahang bermula dari Kampung Relong di Kuala Lipis.

Pakej 5 yang terlibat hari ini ialah Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik sepanjang 5.78 km yang bermula pada 5 November 2015 dan siap pada 30 Oktober 2018 serta Seksyen 5D iaitu Bentong Bypass sejauh 22.72 km yang siap pada 20 April 2021 selepas pembinaannya bermula pada 18 April 2016.

Kedua-dua seksyen itu melibatkan kos sebanyak RM631.98 juta dan antara pembinaan terlibat ialah pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala, membina ‘overpass’ (laluan atas) di Kampung Lebu, sembilan jambatan, bulatan di Mempaga dan dua persimpangan bertingkat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Kampung Benus.

Mengenai kos keseluruhan projek CSR yang dikatakan meningkat disebabkan pandemik COVID-19, Fadillah berkata setakat ini, kos pembinaan masih berada dalam perancangan asal.

“Kedua-dua seksyen terlibat boleh digunakan mulai hari ini, dengan Bentong Bypass dapat mengurangkan kesesakan di jalan Persekutuan sedia ada di bandar Bentong selain meningkatkan kebolehcapaian serta menjana ekonomi di kawasan Pahang Barat termasuk sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana,” katanya.

Berhubung rancangan asal CSR yang menuju ke Simpang Pelangai, Bentong bagi memudahkan perjalanan ke selatan tanah air melalui Negeri Sembilan tanpa memasuki Kuala Lumpur, Fadillah berkata ia akan diteruskan secara berperingkat bergantung kepada kelulusan peruntukan.

“Peruntukan bagi pelaksanaannya (ke Simpang Pelangai) tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) namun ia termasuk dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 dan mungkin diterima pada Rancangan Malaysia seterusnya,” katanya.

Pada November 2020, kerajaan memaklumkan lebuhraya CSR ini dijangka bakal siap sepenuhnya pada tahun 2025. Namun disebabkan pandemik, nampak gayanya jangkaan ia siap tertunda setahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required