Susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kebenaran rentas negeri di seluruh negara mulai 11 Okt 2021, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut memaklumkan semuasekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri di seluruh negara akan ditutup bermula 12 tengah malam ini.

Bagaimanapun SJR di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), SJR Op Benteng serta SJR cegah jenayah dan keselamatan akan dikekalkan.

“Meskipun tiada sekatan jalan raya di sempadan negeri, PDRM akan tetap menggerakkan Pasukan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhinya.

“Pemeriksaan ini akan dijalankan oleh pihak berkuasa secara rawak di lokasi tumpuan umum, berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, PDRM turut menasihati masyarakat agar. tidak mengambil lewa terhadap kelonggaran pergerakan yang diberikan dan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi demi mengelakkan penularan wabak Covid-19 kembali meningkat.