Ini Hyundai Kona Electric facelift yang akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia tahun ini. Dua unit ini dilihat oleh Adi Azri Ari di Petronas Ara Damansara — ketika sedang isi angin tayar.

Versi EV untuk SUV segmen B Kona yang dilihat ini mungkin untuk kegunaan dalaman, memandangkan kereta ini hanya akan berada di bilik pameran hujung tahun nanti. Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) telah mengesahkan kepada paultan.org bahawa pelancaran Kona Electric di Malaysia akan berlangsung pada suku keempat tahun ini — maksudnya, tidak lama lagi.

Tahun lalu, Hyundai memperkenalkan Kona versi facelift, dan HSDM juga sudah membawa masuk versi berkenaan, dengan enjin 2.0 liter NA April lalu, diikuti dengan versi enjin turbo 1.6 liter dan N Line pada Julai lalu. Kona Electric akan menjadi model elektrik sepenuhnya yang pertama HSDM yang ditawarkan di sini — hibrid sebelum ini ada Ioniq.

Kona Electric akan ditawarkan di sini dengan dua saiz bateri, sama seperti di Eropah. Sama seperti versi pra-facelift, EV ini datang dengan bateri 39.2 kWh atau 64 kWh. Motor tunggal pada model asas menghasilkan 136 PS sementara versi bateri yang lebih besar dengan motor 204 PS. Kedua-duanya datang dengan 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.9 saat bagi bateri 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi bateri 64 kWh. Laju maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

Walaupun tiada perubahan pada bateri, ada sedikit perbezaan bagi jarak pemanduan bagi satu cas penuhnya dalam kitaran WLTP. Versi 39.2 kWh kini memberikan 305 km (kurang 7 km dari 312 km) sementara versi 64 kWh memberikan 484 km (tambah 2 km dari 482 km).

Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW akan mengambil masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi model 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula ia hanya memerlukan 47 minit untuk kedua-duanya.

Pengecasan AC biasa dengan pengecas dalaman 7.2 kW single-phase pula memerlukan enam jam untuk mencapai 10% hingga 80% bagi model asas, dan sembilan jam 15 minit bagi model 64 kWh. Masa mengecas masing-masing akan jadi hanya empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas dalaman 10.5 kW three-phase pilihan.

Untuk pasaran Eropah, ada dua tema ruang dalaman — pertama, hitam dengan material kain, campuran kain dan kulit atau balutan kulit; sementara yang kedua dalam warna kelabu. Ruang dalaman kereta yang ada ini tidak dapat dilihat dengan jelas.

Bantuan pemandu SmartSense telah dinaiktaraf dan kini termasuk ciri bantuan mengelak perlanggaran lintasan belakang (RCCA) dan bantuan tinjauan titik buta. Semua fungsi ini ada tambahan brek autonomous kepada ciri amaran sebelum ini. Juga baru untuk Kona Electric adalah ciri Leading Vehicle Departure Alert (LVDA), Safe Exit Warning (SEW) dan Rear Seat Alert (RSA).