Isuzu telah memperkenalkan D-Max V-Cross 2022 di Thailand, menampilkan beberapa peningkatan estetika dengan sedikit kenaikan harga. Empat varian bagi 3.0L V-Cross telah ditawarkan, dengan harga bermula dari 867,000 baht (RM107k) hingga 1,172,000 baht (RM146k).

Ciri baharu untuk model tahun 2022 termasuklah gril hadapan Double Dimension dengan kemasan krom hitam, roda Robust Radius hitam matte 18-inci baharu, perumah hitam untuk lampu belakang kombinasi LED, dan warna luaran baharu Islay Grey Opaque. Ciri lain seperti pemegang pintu, pemijak sisi, rel bumbung dan gerbang roda. juga dengan kemasan sama ada hitam atau kelabu.

Di dalamnya, tempat duduk Cool Max baharu dengan fungsi untuk mengurangkan haba panas, dilengkapi dengan tempat duduk kulit dua-tona baharu hitam dan coklat dengan jahitan kontras coklat. Ia juga boleh dilihat pada roda stereng, di mana ia digantikan dengan kemasan Brown Cafe dan Satin Silver.

Tiada perubahan dibuat pada penjana kuasanya, D-Max V-Cross masih mengekalkan unit 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder turbodiesel, dengan hamburan output 190 PS pada 3,600 rpm, dan tork 450 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Ia juga ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan automatik enam-kelajuan (dengan pilihan mod manual Sequential Shift).

Selain itu, trak pikap ini masih ditampilkan dengan ciri premium seperti lampu utama projektor bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, cermin hadapan infrared-cut (pelindungan UV-A dan UV-B), sistem kawalan penghidup enjin, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala, paparan skrin sesentuh sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan pembesar suara.