Hyundai Kona Electric muncul dalam video Staria, EV ini bakal dilancarkan di Malaysia sebelum akhir tahun

Hyundai Kona Electric muncul dalam video Staria, EV ini bakal dilancarkan di Malaysia sebelum akhir tahun

Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) melancarkan MPV Staria secara maya hari ini. Bagaimanapun, dalam video yang ditunjukkan berkaitan MPV berharga RM360k itu, sebenarnya turut ditampilkan kelibat model Hyundai Kona Electric.

Tangkap layar di atas menunjukkan sebuah Kona Electric biru ketika menunjukkan fungsi Safe Exit Assist — sebuah ciri dalam Hyundai SmartSense ADAS terbaru — yang bertindak menghindarkan pemandunya daripada membuka pintu kerana situasi tidak selamat. Itu bukan Kona petrol kerana wajah depannya yang tampil tanpa gril, serta bunyi pecutan yang senyap kereta terbabit.

Ini juga bukan rahsia, kerana sebelum ini dua unit Kona Electric facelift dilihat di sebuah stesen minyak di Ara Damansara awal bulan ini. HSDM juga terdahulu mengesahkan kepada paultan.org bahawa pelancaran Malaysia bagi model terbabit akan berlangsung pada suku keempat tahun ini. Itu bermaksud tidak lama lagi.

Boleh juga didedahkan bahawa Kona Electric akan didatangkan dalam dua saiz bateri — 39.2 kWh dan 64 kWh — sama seperti di Eropah. Motor tunggal pada model asas menghasilkan 136 PS sementara versi bateri yang lebih besar dengan motor 204 PS. Kedua-duanya datang dengan 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.9 saat bagi bateri 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi bateri 64 kWh. Laju maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

Walaupun tiada perubahan pada bateri, ada sedikit perbezaan bagi jarak pemanduan bagi satu cas penuhnya dalam kitaran WLTP. Versi 39.2 kWh kini memberikan 305 km (kurang 7 km dari 312 km) sementara versi 64 kWh memberikan 484 km (tambah 2 km dari 482 km).

Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW akan mengambil masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi model 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula ia hanya memerlukan 47 minit untuk kedua-duanya.

Pengecasan AC biasa dengan pengecas dalaman 7.2 kW single-phase pula memerlukan enam jam untuk mencapai 10% hingga 80% bagi model asas, dan sembilan jam 15 minit bagi model 64 kWh. Masa mengecas masing-masing akan jadi hanya empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas dalaman 10.5 kW three-phase pilihan.

Untuk pasaran Eropah, ada dua tema ruang dalaman — pertama, hitam dengan material kain, campuran kain dan kulit atau balutan kulit; sementara yang kedua dalam warna kelabu. Ruang dalaman kereta yang ada ini tidak dapat dilihat dengan jelas.

Bantuan pemandu SmartSense telah dinaiktaraf dan kini termasuk ciri bantuan mengelak perlanggaran lintasan belakang (RCCA) dan bantuan tinjauan titik buta. Semua fungsi ini ada tambahan brek autonomous kepada ciri amaran sebelum ini. Juga baru untuk Kona Electric adalah ciri Leading Vehicle Departure Alert (LVDA), Safe Exit Warning (SEW) dan Rear Seat Alert (RSA).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required