Chevrolet telah mendedahkan C8 Corvette Z06 baru, iaitu versi prestasi tinggi bagi model sports yang dilancarkan dua tahun lalu. Dengan pelbagai peningkatan mekanikal, aerodinamik serta gaya, Z06 baru ini memberikan lebih banyak prestasi berfokuskan litar, berbanding model Stingray biasa.

Jantungnya adalah LT6, iaitu enjin yang dikatakan oleh Chevrolet sebagai V8 NA paling berkuasa pernah dipasang pada kereta produksi. Unit 5.5 liter DOHC ini diambil daripada kereta lumba Corvette C8.R dan ia menampilkan blok aluminium, injap titanium, piston aluminium, connecting rod titanium, sistem minyak dry sump, flat-plane crankshaft, throttle body 87 mm berkembar dan manifold ekzos 4-2-1.

Enjin ini boleh dikerah sehingga tahap 8,600 rpm, dan menghasilkan kuasa maksimum 670 hp pada 8,400 rpm dan 623 Nm tork pada 6,300 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan limited slip differential kawalan elektronik. Sebagai perbandingan, enjin V8 LT2 dengan kapasiti 6.2 liter cuma boleh menghasilkan 495 hp dan 637 Nm.

Melihat kepada prestasi, Z06 boleh memecut 0-96 km/j dalam masa cuma 2.7 saat, atau 2.6 saat dengan Z07 Performance Package yang dijual sebagai pilihan tambahan. Model C8 dengan Z51 Performance Package melakukan pecutan sama dalam masa 2.9 saat.

Selain enjin, Z06 juga mengambil inspirasi untuk bahagian pengendalian daripada C8.R. Sebagai permulaan, ia dijadikan 9.4 sm lebih lebar berbanding Stingray, untuk menempatkan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 345/25 di belakang, dan membenarkan lebih banyak udara untuk melalui saluran di tepi.

Muka hadapan juga adalah baru, dan mempunyai bukaan udara yang lebih besar untuk menarik udara ke bahagian tengah serta menyejukkan brek dan transaxle dengan lebih baik. Jurutera yang membangunkan kereta ini juga telah melaras kembali stereng serta penyerap magnetorheological (Magnetic Ride Control 4.0) untuk menjadikannya bersesuaian dengan prestasi yang dihasilkan.

Z06 juga mendapat rim paling besar pernah digunakan oleh Corvette pada kenderaan produksi, dengan saiz 20 inci di hadapan (tayar 275/30) dan 21 inci di belakang. Ia adalah perlu demi memasang sistem brek Brembo yang lebih besar, terdiri daripada cakera 370 mm dengan angkup enam piston di hadapan, dan cakera 380 mm dengan angkup empat piston di belakang.

Antara bahagian penting yang memberikan sumbangan kepada aerodinamik adalah splitter hadapan dan spoiler belakang yang boleh menghasilkan daya tolakan ke bawah sehingga 165.6 kg pada kelajuan 299.3 km/j. Sekiranya mengambil pakej aero gentian karbon, barangan ini akan dibuat daripada bahan tersebut, dan diberikan sekali bersama tambahan beberapa lagi panel termasuk di bawah badan.

Pakej aero gentian karbon ini datang standard bersama Z07 Performance Package yang dijual sebagai pilihan tambahan, dan ia termasuk dengan suspensi FE7 bersama kalibrasi Magnetic Ride Control 4.0, tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R serta cakera brek seramik karbon (398 mm di hadapan dan 390 mm di belakang).

Dengan pakej lengkap ini, Z06 mampu menghasilkan daya tolakan ke bawah 333 kg pada kelajuan 299.3 km/j dan memberikan daya tarikan 1.22 g pada kawasan ujian berbentuk bulat (skidpad). Chevrolet juga ada menyediakan rim gentian karbon lebih ringan, tetapi ia hanya disediakan apabila pemilik memilih Z07 Performance Package.

Pilihan lain yang disediakan adalah termasuk kemasan dalam gentian karbon dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng dan pedal penukar gear gentian karbon, 12 warna luar, tujuh rekaan roda stereng, tujuh warna kemasan dalam, enam pilihan tali pinggang keledar dan enam warna angkup brek. Sama seperti Stingray, Z06 ini ditawarkan dalam bentuk badan coupe dan convertible, dan akan dibina untuk pemanduan sebelah kiri dan juga kanan.