Maserati Ghibli Hybrid 2021 dilancarkan di Malaysia – 2.0L turbo mild hybrid; 330 PS, 450 Nm; dari RM428k

Maserati Ghibli Hybrid 2021 dilancarkan di Malaysia – 2.0L turbo mild hybrid; 330 PS, 450 Nm; dari RM428k

Naza Italia telah melancarkan Maserati Ghibli Hybrid baharu di Malaysia, selepas jenama ini memperkenalkan model elektrifikasi tersebut di peringkat global pada Julai tahun lalu. Harganya bermula RM427,800 untuk varian asas, sementara GranSport pula berharga RM456,800 – disertakan dengan waranti kenderaan tanpa had perbatuan dan pakej penyelenggaraan percuma untuk tiga-tahun/60,000 km yang diberikan secara standard.

Tidak seperti Ghibli facelift 2019, kita hanya mengetahui harga asas untuk Ghibli Hybrid, tetapi angka tersebut tidak termasuk dengan cukai tempatan serta insurans.

Di bawah bonetnya, Ghibli Hybrid dilengkapi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan alternator berkuasa 48-volt dan tambahan supercharger elektrik “eBooster”. Unit eBooster menghasilkan kuasa menerusi bateri yang ditempatkan di belakang jentera dan membantu untuk mengisi jarak tork sebelum ledakan turbo, sementara sistem mild hybrid pula akan memulihkan kuasa ketika brek dan nyahpendikitan.

Bagi kuasanya, ia mampu memberikan 330 PS (325 hp) pada 5,750 rpm dan tork 450 Nm dari 2,250 hingga 4,500 rpm, sementara pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dan limited-slip differential. Mengenai aspek prestasi, Ghibli Hybrid mengambil masa sekitar 5.7 saat untuk mencapai pecutan 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 255 km/j. Bagi penggunaan bahan api, ia serendah 8.11 l/100 km mengikut standard WLTP.

Mengikut perbandingan, versi asas bagi Ghibli bukan-hibrid adalah lebih berkuasa, dengan padanan enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang mampu memberikan output 350 PS dan 500 Nm, dengan 0-100 km/j dalam 5.5 saat dan kelajuan maksimumnya 267 km/j. Model tersebut berharga RM618,800 (tidak termasuk insurans atau kos atas jalan tetapi disertakan dengan cukai tempatan).

Kuasa prek bagi Ghibli Hybrid didatangkan dari cakera berukuran 345 mm di hadapan dengan kaliper empat-omboh Brembo, sementara untuk bahagian belakang diberikan cakera 330 mm dan kaliper omboh-tunggal. Padanan tersebut membolehkan model hibrid dinyahpecut dari 100 km/j hingga berhenti dalam jarak 35.5 meter.

Maserati Ghibli Hybrid 2021 dilancarkan di Malaysia – 2.0L turbo mild hybrid; 330 PS, 450 Nm; dari RM428k

Ghibli Hybrid menerima penggayaan yang berbeza berbanding model Ghibli yang lain, termasuk kemasan biru pada sisi saluran udara, kaliper brek dan juga logo pada C-pillar. Selain itu, palang menegak pada gril hadapan telah dibentukkan semula untuk menyerupai tuning fork, sementara di belakangnya pula diberikan lampu umpama boomerang, yang dikatakan diinspirasikan dari kereta konsep 3200 GT dan Alfieri.

Untuk bahagian dalam, kabinnya diberikan jahitan biru pada tempat duduk, dengan ciri kelengkapan lain termasuk panel instrumen digital dan sistem infotainmen berasaskan Android baharu yang disambung ke paparan skrin sesentuh 10.1-inci yang lebih besar. Selain itu, ia juga diberikan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), merangkumi kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan AEB.

Bagi varian GranSport, ia menerima bampar. yang lebih sporty dengan serlahan hitam, pakej Nerissimo dan roda 20-inci. Tahap kemasannya juga ditambah dengan tempat duduk sport upholstery dengan kulit “Pieno Fiore”, kemasan kayuan dengan karbon berkilat dan juga lining bumbung Alcantara. Ciri lain termasuk sistem bunyi Bower & Wilkins dengan 15-pembesar suara yang ditawarkan secara pilihan, yang turut didatangkan dengan amplifier 1,280 watt dan juga QuantumLogic Surround.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required