SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

Kalau tanya dengan generasi yang lahir pada tahun era 90’an, mungkin mereka tidak tahu menahu langsung berkenaan kereta dengan jenama Opel dari Jerman. Namun satu ketika dahulu, ayah-ayah kita pernah memandu model seperti Opel Kadett, malah model lebih sporty seperti Opel Manta turut boleh ditemui di atas jalan raya Malaysia.

Memang dah lama betul Opel meninggalkan pasaran tempatan (mereka gulung tikar di sini sekitar awal era 2000), tetapi tiba-tiba seorang pembaca kami, Fahmie telah terjumpa dua buah model yang memang asing bagi rakyat Malaysia sedang diuji di atas jalan raya menggunakan trade plate Kedah, iaitu Opel Mokka dan Citroen C4.

Opel dan Citroen kini berada dalam kumpulan automotif yang sama iaitu Stellantis – entiti baharu yang ditubuhkan hasil penggabungan dua gergasi automotif global iaitu Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan Groupe PSA. Antara jenama lain yang turut bernaung dibawah syarikat berkenaan termasuk Peugeot, Lancia, Vauxhall, Fiat, Dodge, Alfa Romeo dan banyak lagi.

SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

Tidak tahulah sama ada ini kebetulan atau memang dalam rancangan, Stellantis baru sahaja memuktamadkan pengambilalihan kilang Naza di Gurun, Kedah minggu ini sekaligus dapat memastikan Peugeot terus dapat dipasang di Malaysia dan dieksport ke negara Asia Tenggara yang lain.

Berbalik kepada dua buah SUV kompak yang dijumpai ini, Opel Mokka adalah unit yang berwarna putih, dengan lampu belakang nipis berbentuk-L dan ia sudah didedahkan pada peringkat global pada Jun tahun lalu. Manakala unit yang berwarna hitam di depannya pula adalah Citroen C4, membuat kemunculan sulung global hanya lewat sebulan dari Mokka.

Sebenarnya bukan hanya Opel yang tidak lagi berada di Malaysia, Citroen juga secara rasmi telah menghentikan operasinya di sini selepas Naza melepaskan haknya terhadap jenama tersebut bersama Peugeot tahun lalu. Sejurus selepas itu, Bermaz Auto Alliance’s (BAASB) diumumkan sebagai pemegang francais untuk Peugeot di Malaysia, dan mereka bertanggungjawab untuk memberikan sokongan khidmat selepas jualan terhadap kereta-kereta Citroen yang telah dijual oleh Naza Euro Motors sebelum itu.

Jadi apa yang bakal berlaku sebenarnya selepas dua SUV ini dijumpai di Malaysia? Adakah Stellantis bakal membawa Opel dan Citroen masuk semula ke pasaran tempatan dengan pengurusan baharu selepas berjaya mendapatkan kilang pemasangan di Gurun?

Mengikut apa yang telah dibuat oleh PSA sebelum ini, tidak semestinya model-model yang mereka bawa untuk diuji di Malaysia akan dijual di sini. Contohnya trak pikap Peugeot Landtrek dan sedan mewah DS9 yang turut dijumpai diuji di Malaysia sebelum ini.

Ujian yang dijalankan tersebut mungkin hanya menggunakan Malaysia sebagai tempat bagi menguji model-model berkenaan dalam cuaca panas atau mungkin bagi mendapatkan data-data tertentu.

SPYSHOT: Opel mahu masuk semula pasaran M’sia? Opel Mokka dijumpai diuji bersama Citroen C4

Walau bagaimanapun, tidak mustahil untuk kedua-dua SUV tersebut untuk dipasarkan di Malaysia. Ini kerana Opel Mokka dan Citroen C4 diasaskan dari platform Efficient Modular Platform (EMP), atau lebih spesifik EMP1 yang sama, dan asas tersebut turut dikongsi bersama Peugeot 2008 yang bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi.

Ketiga-tiga model tersebut bukan hanya berkongsi platform, malah turut menggunakan enjin, transmisi dan juga teknologi yang sama antara satu sama lain. Faktor ini bukan sahaja membuatkan ia boleh dihasilkan dengan kos yang lebih rendah, malah aspek penyelenggaraannya juga menjadi lebih mudah dan memungkin Mokka dan C4 dilancarkan di Malaysia bersama 2008.

Satu lagi kemungkinan yang boleh terjadi adalah Stellantis mungkin akan memasang Opel Mokka dan Citroen C4 tersebut di Gurun, tetapi tidak dijual di Malaysia dan kesemuanya dieksport ke pasaran rantau Asia Tenggara, bagi mengambil manfaat ke atas perjanjian perdagangan bebas ASEAN (AFTA).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Nadzli Jimmy Rusli on Nov 06, 2021 at 3:38 pm

    Maslahnya adalah maintenance western car ini adalah mahal berbanding kereta jepub

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required