Yamaha XSR900 2022 diperkenal di Eropah – banyak peningkatan pada bahagian kerangka dan prestasi

Yamaha XSR900 2022 diperkenal di Eropah – banyak peningkatan pada bahagian kerangka dan prestasi

Yamaha telah memperkenalkan model “Sports Heritage” XSR900 2022 di pasaran Eropah. Meskipun ini adalah satu model bergaya retro, Yamaha telah mengambil penting ciri sports padanya dan melakukan banyak peningkatan termasuk pada bahagian kerangka.

Ia sekarang menggunakan kerangka Deltabox, yang dibuat daripada aluminium, menjadikannya lebih kompak serta ringan, dan pada masa sama meningkatkan ketegarannya. Kedudukan tapak pemegang juga dijadikan 30 mm lebih rendah berbanding XSR900 sebelum ini, dan ia meningkatkan kepuasan waktu mengambil selekoh dan memberikan kedudukan lebih agresif.

Jarak roda pula dijadikan 55 mm lebih panjang dengan perubahan pada bahagian lengan ayun (menjadi 1,495 mm), dan ia memberikan lebih stabiliti waktu di kelajuan tinggi. Menurut Yamaha, XSR900 baru ini adalah sporty dan mempunyai karekter yang lebih responsif.

Seperti yang boleh dilihat, penampilan motosikal juga diubah. Selain grafik lumba Gauloises Blondes yang terkenal, beberapa bahagian lain turut diubah termasuk tangki (berkapasiti 15 liter) serta bentuk tempat duduk, seperti motosikal tahun 80-an.

Bahagian brek dipertingkat dengan penggunaan pam atas Brembo dan tuil boleh laras, sementara di bawah terdapat angkup empat piston bersama cakera 298 mm – ABS diberikan secara standard. Untuk suspensi, kedua-dua bahagian menggunakan unit daripada Kayaba, dan fork hadapan kini boleh dilaras sepenuhnya. Rim adalah 700 gram lebih ringan.

Pada bahagian enjin, XSR900 masih lagi dipacu oleh unit Crossplane 3 tiga silinder 889 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan quickshifter dan klac slip & assist. Panel meter LCD berbentuk bulat sebelum ini telah diganti dengan unit TFT-LCD petak dengan ukuran 3.5 inci.

Yamaha XSR900 2022 diperkenal di Eropah – banyak peningkatan pada bahagian kerangka dan prestasi

Ciri elektronik lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk cruise control, pilihan empat mod tunggangan serta unit pengukur inertia (IMU) yang dapat memberikan input kepada Traction Control (tiga tahap), Slide Control dan Wheelie Control.

Semua lampu pada XSR900 menggunakan unit LED, dengan bentuk bulat di hadapan dan sedikit tersembunyi di belakang, menjadikan penampilannya lebih kemas. Di Eropah, XSR900 ditawarkan dalam dua warna, iaitu Legend Blue (biru muda/kuning) dan Midnight Black dengan sedikit kemasan merah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required