Sebanyak 4.5 juta kenderaan telah melalui lebuh raya utama di seluruh negara susulan orang ramai mengambil kesempatan bercuti dan pulang ke kampung berikutan cuti panjang sempena Deepavali. Aliran trafik di lebuh raya utama pada hari perayaan Deepavali iaitu Khamis lalu dan hari sebelumnya, masing-masing merekodkan 3.5 juta dan 4.4 juta kenderaan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, aliran trafik semalam adalah sama seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu, laporan New Strait Times.

Katanya, mengikut rekod semalam, tiga lebuh raya utama iaitu Lebuh raya Utara Selatan merekodkan sebanyak 1,270,145 kenderaan, 183,087 kenderaan melalui Lebuh raya KL-Karak serta 68,088 kenderaan di Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1).

“Tinjauan trafik di tujuh plaza tol utama pada hari berkenaan juga mendapati berlaku peningkatan ketara jumlah kenderaan berbanding 18 Oktober lalu.

“Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan sebanyak 57.61% iaitu 110,820 berbanding 70,312 kenderaan pada Isnin, 18 Oktober lalu. Manakala Plaza Tol Jalan Duta menunjukkan peningkatan 11.98% iaitu 64,439 semalam berbanding 57,544 kenderaan pada 18 Oktober lalu, dan Plaza Tol Sungai Besi meningkat 1.79% iaitu 41,655 berbanding 40,924 kenderaan.

“Plaza Tol Skudai meningkat 37.53% iaitu 28,859 berbanding 20,984 kenderaan dan Plaza Tol Juru meningkat 16.87% dengan 47,894 berbanding 40,980 kenderaan. Plaza Tol Bentong turut menunjukkan peningkatan 54.36% dengan 72,267 berbanding 46,816 kenderaan. Manakala Plaza Tol Karak merekod peningkatan 62.51% iaitu 22,589 berbanding 13,900 kenderaan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Namun demikian, beliau menambah, tiada kesesakan luar biasa dikesan di semua sektor lebuh raya setakat ini. Walau bagaimana pun, jalan Persekutuan dan jalan negeri sesak ekoran banyak kenderaan yang bergerak susulan kebenaran rentas negeri dan cuti panjang.

“Namun, kawalan lalu lintas di peringkat kontinjen dan daerah terus dilaksanakan bagi memberikan keselesaan dan menyuraikan kesesakan lalu lintas. Tindakan berterusan pemantauan melalui Op Lancar dan penguatkuasaan penuh,” katanya.