BMW dilaporkan mengambil keputusan untuk menggugurkan fungsi skrin sesentuh pada beberapa modelnya disebabkan berhadapan dengan isu kekurangan bekalan semikonduktor. Menurut Bimmerfest, keputusan untuk menggugurkan fungsi spesifik itu bagi membolehkan pengeluar kereta tersebut untuk mengekalkan tahap produksi sehingga hujung tahun ini, dan langkah berkenaan telah pun diimplementasi.

Model yang terbabit dengan langkah berkenaan ialah 3 Series G20, 4 Series Coupe G22, 4 Series Convertible G23, 4 Series Gran Coupe G24, Z4 G29, dan kesemua varian X5 G05, X6 G06 dan X7 G07. Di bilik pameran, kesemua kenderaan ini akan mempunyai Option Code 6UY “Deletion of Touchscreen” yang dinyatakan pada label Monroney, dan pelanggan yang terlibat bakal menerima kredit sebanyak US$500 (RM2,077).

Selain itu, kenderaan dengan Option Code 6UY juga tertera pada Pakej Bantuan Parkir (5DN/ZPK) yang digugurkan fungsi Backup Assistant. Kenderaan terbabit akan diberikan Option Code ZUY pada label Monroney dengan memaparkan “Deletion of Backup Assistant.”

Kenderaan yang terlibat telah pun mula dihantar dari kilang Spartanburg (untuk pasaran USA dan luar negara) dan ia perlu dikemaskini perisiannya untuk penghantaran runcit dan pelanggan. Kemaskini perisian itu boleh didapati bermula 11 November 2021.

Sementara itu, model di Malaysia masih kekal tidak terbabit dengan isu ini. Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata, “Isu ini tidak menjejaskan model di Malaysia. Kenderaan kami telah pun sedia diperuntukkan untuk tahun ini dan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama tahun hadapan, jadi kita tidak terjejas dengan isu kekurangan cip ini.”