Bridgestone Potenza Sport dilancarkan di Malaysia — ganti Potenza S007A, harga bermula dari RM959

Tayar prestasi flagship Bridgestone Potenza Sport kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Model ini menggantikan Potenza S007A dan diposisikan atas daripada Potenza Adrenalin RE004 dalam barisan tayar prestasi jenama ini.

Dengan model ini menjadi tayar dari kilang bagi jentera seperti Maserati MC20 dan Lamborghini Huracan STO — kereta lumba untuk jalanan — Potenza Sport ini sudah terbukti kemampuannya dari awal. Berikut ciri utama yang penting ada pada tayar berkenaan.

Dibangunkan di Bridgestone Technical Center Europe di Itali, Potenza Sport dikilangkan di Eropah, tidak seperti S007A sebelum ini. Pengeluar Jepun itu memaklumkan mereka mewawancara lebih 3,800 pemandu di seluruh dunia untuk mendapatkan maklum balas ketika membangunkan model baru ini, yang direka menggunakan teknologi Virtual Tyre Development Bridgestone.

Ini membolehkan syarikat itu utnuk meramalkan dengan tepat tanpa perlu menghasilkan tayar secara fizikal dan menguji semua versi yang ada, menjimatkan kira-kira 200 tayar contoh untuk pembangunan bagi setiap projek. Selain mesra alam, R&D maya ini juga menjimatkan hampir separuh masa produk memasuki pasaran berbanding cara biasa.

Tiga matlamat tayar ini adalah memberikan kestabilan dalam kelajuan tinggi (jalan lurus atau pun selekoh), cengkapam yang selamat ketika kering dan basah, dan jarak brek yang lebih pendek — tentunya semua ini dalam maksud merujuk kepada penggunaan pada supercar yang memerlukan kemuncak teknologi tayar untuk mengoptimumkan prestasinya. Antara pesaing tayar ini adalah Michelin Pilot Sport 4S, Goodyear Eagle F1 SuperSport, Continental SportContact 6 dan Pirelli P Zero PZ4.

Bridgestone Potenza Sport dilancarkan di Malaysia — ganti Potenza S007A, harga bermula dari RM959

Potenza Sport ini menampilkan beberapa inovasi teknologi terbaru dalam rekaan corak bunga, bahan dan binaannya. Bunga 3D inovatif diberikan kepada rekaan corak bunganya bagi meningkatkan kekukuhan, serta untuk menambah baik dan mempercekap brek dan rintangan kehausan.

Bahan atau kompaunnya mengandungi formula yang digabungkan dengan teknologi campuran inovatif untuk memperbaiki prestasi kendalian tayar berkenaan dalam keadaan kering dan basah. Bridgestone juga mengenakan pengukuhan hibrid baru — menggunakan nylon dan aramid — untuk memaksimumkan kestabilan tayar dalam kelajuan tinggi. “Kerangka” luaran yang sporty juga — diding tepi dan isian bead — diberikan untuk meningkatkan kestabilan dan respon stereng, dalam masa yang sama mengoptimumkan rintangan golekan.

Bagi rekaan corak bunganya pula, ia tidak kelihatan terlalu agresif. Potenza Sport memiliki sudut dinding asymetrik untuk meningkatkan kekerasan lateralnya dan mengurangkan nyah-bentuk blok. Ini memberi kelebihan ketika di selekoh dan kestabilan laluan lurus. Profilnya juga sporty; lebih “berpetak” untuk memaksimumkan kawasan sentuhan — sekaligus memperbaiki prestasi brek.

Bridgestone Potenza Sport buatan Eropah ini datang dalam 84 saiz terdiri daripada 17 hingga 22 inci, dan 16 daripadanya turut ditawarkan di Malaysia kini (enam saiz 18-inci dan 10 saiz 19-inci), dijual pada harga dari RM959 hingga RM1,723 sebiji. Bridgestone Malaysia memaklumkan pihaknya akan membawa masuk lebih banyak saiz dari semasa ke semasa, bergantung kepada permintaan pasaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required