Walaupun Honda HR-V terkini baru saja dilancarkan di Thailand, ia nampaknya sudah ada pesaing baru juga, dan ini bukannya dari jenama Jepun juga sebaliknya dari China. Perkenalkan Haval Jolion, yang dijangka akan diperkenalkan di sana bulan ini juga.

Jolion akan menjadi model ketiga yang dibawa masuk oleh Great Wall Motors (GWM), selepas Ora Good Cat dan Haval H6. Crossover terbaru ini dijangka akan dapat mengulangi kejayaan dua model terbabit, yang dilaporkan telah menjadi SUV segmen C terlaris di Thailand kini.

Sama seperti H6, Jolion (terjemahan namanya “cinta pertama”) diasaskan menggunakan platform modular Lemon GWM, yang membolehkan pemasangan sistem janaan dengan elektrifikasi. Rekaan luaran segarnya menampilkan gril hexagonal, lampu utama tajam, DRL menonjol dan lampu belakang bentuk L.

Di dalam, ruang kabinnya tampil ringkas dan minimal, dengan konsol tengah tinggi dan skrin paparan besar — bersaiz 10.25 inci, termasuk kawalan untuk pendingin serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Boleh dijangka Jolion akan menerima sistem janaan hibrid H6 juga, yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbocas empat silinder 169 PS/285 Nm dengan sebuah motor elektrik 130 kW (177 PS) untuk menghasilkan keseluruhan 243 PS dan 530 Nm tork. Ini digabungkan pula dengan transmisi klac-berkembar tujuh-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda depan.

Jolion juga mungkin akan turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemandu H6. Ini termasuk AEB, ciri pemanduan semi-autonomus Tahap 2, peninjau titik buta dan pengesan papan tanda trafik. Dipasang di kilang GM di Rayong, model ini dijangka akand dijual antara 800,000 baht (RM100,400) dan 1,000,000 baht (RM125,500) menurut Headlight Magazine, 1,145,000 baht (RM143,700) lebih murah daripada H6.