Geely Auto Group berhasrat meningkatkan jualan global mereka ke 3.65 juta unit setahun dari tahun 2025 dengan pelaksanaan strategi “Smart Geely 2025” yang juga akan melibatkan pengenalan barisan produk. Dalam siaran akhbar rasmi yang diedarkan, syarikat itu memberitahu, akan melancarkan leih daripada 25 “produk kenderaan pintar” dalam masa beberapa tahun akan datang.

Lebih terperinci lagi, jenama Geely Auto akan mengeluarkan lebih 10 model pintar dan menggunakan kuasa elektrik, yang dikuasakan oleh enjin hibrid yang dibangunkan oleh Leishen Power. Semua model ini akan duduk di atas platform Hi-X, yang boleh digunakan untuk model daripada segmen A hinggalah C, dan penggerak hibrid, plug-in hybrid ataupun EV range extender.

Sementara itu, satu lagi jenama kenderaan elektrik di bawah Geely, iaitu Geometry akan melancarkan sekurang-kurangnya lima model baru bermula tahun hadapan. Semua kenderaan ini akan menggunakan asas Sustainable Experience Architecture (SEA), yang juga memberikan pelbagai pilihan untuk jenis kenderaan.

Penawaran daripada Lynk & Co juga akan bertambah dengan pengenalan lima lagi model baru yang menyediakan lebih kepelbagaian. Tiada perincian yang didedahkan berkenaan perkara ini, tetapi semua kenderaan ini berkemungkinan menggunakan satu (atau lebih) daripada empat platform yang telah dibangunkan oleh Geely Auto dan Volvo Cars – B-segment Modular Architecture (BMA), Compact Modular Architecture (CMA), Scalable Product Architecture (SPA) dan SEA.

Semua platform ini bukan setakat boleh menghasilkan pelbagai jenis kenderaan, tetapi juga boleh dipasang dengan pelbagai jenis penggerak seperti enjin petrol, hibrid, plug-in hybrid dan elektrik bateri. Menurut Geely, reka bentuk platform ini berjaya meningkatkan kecekapan R&D sebanyak 30% dan akan disokong oleh sistem elektronik dan elektrikal maju – bermula dengan GEEA2.0 dan diikuti GEEA3.0 pada masa hadapan.

Untuk sistem kenderaan pula, Geely sekarang sudah mempunyai SE1000 yang dibangunkan sendiri dan merupakan sistem cip (SoC) kenderaan pertama China dengan rekaan 7 nm. Ia adalah CPU yang memberi kuasa kepada konsep kokpit pintar jenama itu, dan pada masa hadapan, satu CPU kenderaan bersepadu 5 nm dan cip pemanduan autonomous akan dilancarkan untuk menyokong keperluan sistem komputer dan fungsi pemanduan autonomous kenderaan – Geely bercadang untuk mengkomersialkan teknologi pemanduan autonomous Level 4 dan 5 menjelang 2025.

Pembangunan ekosistem penuh ini juga akan melibatkan rekaan perisian yang memberikan pemaju seluruh dunia lebih daripada 1,000 interface API, alat-alat perisian serta platform, dan disokong servis perkongsian dengan lebih 1,000 rakan kongsi digital.

Menjelang tahun 2025 juga, Geely meletakkan sasaran untuk menyediakan naik taraf perisian atas talian (FOTA) setiap tiga bulan merangkumi sistem penggerak dan kenderaan menyeluruh, seterusnya membenarkan kenderaan mereka berevolusi.