Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

Lanjutan pengumuman Porsche untuk memasang modelnya secara tempatan di Malaysia dengan kerjasama Sime Darby Ogos lalu, ini dia hasilnya – Porsche Cayenne 2022 CKD yang akan dipasang di Kulim, Kedah, dan merupakan Cayenne pertama yang dipasang luar dari Eropah!

Menurut Porsche, Cayenne dalam versi CKD di Malaysia buat masa sekarang hanya ditawarkan dalam varian asas. Ia bakal dijual pada harga bermula RM550,000 termasuk cukai dan duti, tetapi tidak termasuk bayaran-bayaran atas-jalan, tanpa sebarang opsyen dan juga insuran. Manakala penghantaran kepada pelanggan pertama pula dijangka bermula pada Mac 2022, jadi ia masih sempat untuk menerima pengecualian sepenuhnya cukai jualan bagi kereta CKD sehingga 30 Jun.

Sebagai perbandingan, model Cayenne yang sama tetapi dalam versi CBU dijual pada harga RM665,000. Jadi selain memberikan peluang kepada warga tempatan untuk memasang Porsche di sini, proses CKD ini juga telah mengurangkan harga SUV mewah tersebut sebanyak RM115,000.

Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

Tempahan untuk model ini juga sebenarnya sudah pun dibuka, dan ia boleh dibuat menerusi satu laman sesawang khas di mana pembeli juga boleh menambah perincian opsyen yang lain. Bagi meraikan platform tempahan atas talian untuk pelanggan di Malaysia ini, Porsche turut menawarkan baucer Porsche Driver’s Selection yang bernilai RM911 untuk 50 pelanggan pertama yang menempah SUV tersebut menerusi laman berkenaan.

Dalam versi asas, Cayenne dijana oleh enjin petrol V6 3.0 liter turbo berkuasa 340 PS (335 hp) pada takat 5,300 hingga 6,400 rpm, dan tork maksima 450 Nm bermula 1,340 hingga 5,300 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Tiptronic S, bersama sistem pacuan semua roda aktif.

Model CKD di Kulim ini akan menerima semua kelengkapan dari model CBU, termasuk rim RS Spyder 21-inci, sistem bunyi sekeliling Bose, tempat duduk hadapan larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, serta sistem Park Assist bersama pemantau hadapan, belakang dan sekeliling.

Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

Perincian-perincian lain yang disertakan termasuk lampu hadapan LED dengan Sistem Lampu Dinamik Porsche (PDLS), lampu belakang LED, sistem pendingin hawa kawalan iklim empat zon, roda stereng sport, pedal penukar gear, konsol tengah yang dilengkapi Direct Touch Control, dan Comfort Access.

Ia juga menerima Porsche Advanced Cockpit bersama Porsche Communication Management (PCM) yang menampilkan skrin sesentuh 12-inci, memberikan fungsi servis-servis terhubung Porsche Connect serta integrasi Apple CarPlay.

Pelanggan turut ditawarkan dengan pakej opsyen Porsche Exclusive Manufaktur Package dengan harga tambahan RM58,000. Opsyen berkenaan menampilkan pakej penggayaan SportsDesign (apron hadapan unik dan kemasan tambahan ruang roda lebih menonjol), sistem ekzos sports, kluster lampu yang digelapkan, projektor LED pada pintu yang memancarkan logo Porsche dan kunci menampilkan warna sama dengan warna badan kereta.

Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

Bagi model CKD ini, pengedar rasmi Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) menawarkan tiga pilihan warna badan iaitu Carrara White Metallic, Jet Black Metallic dan Quartzite Grey Metallic, serta dua tema warna untuk upholsteri kulit dalaman iaitu Hitam dan tema dua-tona Hitam-Bordeaux Red.

Kelengkapan-kelengkapan dari katalog Porsche Tequipment seperti jaring ruang kargo, pelapik but, karpet kaki jenis all-weather dan pelbagai lagi turut ditawarkan sebagai pilihan untuk pembeli Cayenne CKD ini. Porsche turut menerima permintaan sekiranya pelanggan mahukan pakej kemasan dalaman karbon, pilihan rim 22-inci sehingga jam Porsche Design yang berharga RM38,888.

“Sejak pengenalannya, Cayenne telah berevolusi untuk menjadi kegemaran pelanggan bagi peminat Porsche di Malaysia. Ia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam keluarga Porsche, dan kami gembira hari ini bagi membolehkan kemungkinan-kemungkinan baharu yang tidak terhitung dengan Cayenne,” kata CEO SDAP, Christopher Hunter.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required