Jenama automotif dari Rusia, Lada diumumkan akan beraksi di pentas kejuaraan tertinggi Touring Car dunia dalam kelas TCR FIA, iaitu World Touring Car Cup (WTCR) buat pertama kali menerusi pusingan terakhir musim ini, di mana Rusia menjadi tuan rumah. Perlumbaan tersebut bakal dilangsungkan pada 26 hingga 28 November di Litar Sochi Autodrom.

Walau bagaimanapun, penyertaan Lada kali ini hanyalah sebagai peserta wild card yang bukan sahaja memerlukan mereka membawa beban lebih 10 kg, malah tidak berpeluang untuk mengutip sebarang mata dalam kejuaraan musim ini. Jenama tersebut bakal diwakili oleh pasukan Lada Sport Rosneft dengan jentera Lada Vesta Sport TCR, dipandu oleh dua pemandu Rusia iaitu Kirill Ladygin dan Mikhail Mityaev.

Lada Vesta Sport TCR berkenaan sudahpun membuat kemunculan sulung pada 2017 dengan berlumba di Kejohanan TCR Rusia sehingga kini. Ia diasaskan dari model jalan raya Vesta sedan dalam varian paling sporty iaitu Vesta Sport, dibangunkan oleh Lada Sport Rosneft bagi menerima homologasi sebuah jentera TCR oleh FIA.

Berbanding model produksi yang dijana oleh enjin 1.8 liter NA berkuasa 145 hp/184 Nm, Lada Vesta Sport TCR ini dilengkapi enjin 2.0 liter turbo berkuasa 340 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 410 Nm pada takat 4,000 rpm.

Sama seperti jentera-jentera TCR lain, Lada Vesta Sport TCR ini juga menerima kotak gear perlumbaan sequential enam-kelajuan dari Sadev untuk memacu roda hadapan. Transmisi tersebut turut digandingkan bersama dengan klac plat berkembar dari AP Racing dan juga LSD.

Jentera ini menampilkan prestasi memberangsangkan pada kejohanan TCR Rusia di mana Kirill Ladygin telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi musim 2021, dan Mikhail Mityaev menduduki tangga ketiga.

Walaupun ini kali pertama Lada beraksi di pentas WTCR, jenama tersebut sebelum ini sebenarnya sudah pun pernah bertanding di FIA World Touring Car Championship (WTCC) pada musim 2008 dengan Lada 110 2.0 kemudian beralih ke jentera Lada Priora pada 2009 – kedua-duanya dipandu oleh Kirill Ladygin.

“Kami gembira kerana mendapat peluang untuk mengambil bahagian pusingan di Rusia pada WTCR ? FIA World Touring Car Cup. Jelas, ini merupakan berita baik buat kami dan peminat tempatan. Penonton akan mendapat peluang bagi bersorak untuk pemandu Rusia, yang bertarung dengan pelumba-pelumba terbaik dalam dunia touring car, dengan memandu kereta Rusia,” kata ketua pasukan Lada Sport Rosneft, Vladislav Nezvankin.

“Untuk pasukan kami, penyertaan dalam pusingan terakhir WTCR merupakan latihan terbaik pada peringkat antarabangsa. Ia membolehkan pemandu-pemandu touring car kami dan juga seluruh pasukan untuk menimba pengalaman baharu yang berharga dan menjadi lebih kuat,” katanya lagi.