Yamaha tiba di pameran EICMA tahun ini dengan membawa Tenere 700 Rally Edition. Ia adalah sebuah model yang menggunakan Tenere 700 sebagai asas, dan dipasang dengan aksesori yang menjadikannya lebih bersedia untuk tunggangan lasak.

Melengkapkan penampilannya pula adalah grafik inspirasi daripada jentera Tenere asal tahun 80-an yang digunakan dalam Rali Dakar, dengan warna putih dan merah, berserta jalur “speedblock” pada panel badan serta rim berwarna emas.

Keluar daripada kilang, Tenere 700 Rally Edition terus dipasang dengan tempat duduk khas yang bersambung terus ke belakang dan 20 mm lebih tinggi (menjadi 895 mm), ekzos slip-on Akrapovic, pelindung bawah enjin aluminium 4 mm tebal, pelindung radiator aluminium, pelindung rantai aluminium, lampu penunjuk arah LED yang lebih kompak, lapik lutut getah pada bahagian tepi badan serta getah pemegang tangan jenis offroad (lebih mencengkam).

Bahagian lain tidak diusik, termasuklah enjin, yang masih menggunakan unit dua silinder selari DOHC 689 cc berkuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm, bersama padanan kotak gear enam kelajuan.

Yamaha telah menjadikan Tenere 700 sebagai sebuah motosikal ringkas dengan tiada ciri elektronik seperti mod tunggangan atau kawalan cengkaman, tetapi ia masih dilengkapi dengan ABS two-channel yang boleh ditutup dengan mudah, suspensi yang boleh dilaras di hadapan dan belakang, brek cakera berkembar 282 mm berserta angkup Brembo di hadapan, tangki bahan api 16 liter dan padanan rim 21 di hadapan dan 18 inci di belakang.