Bagi model tahun 2022, Kawasaki telah memberikan banyak peningkatan pada model H2 SX SE, yang kebanyakannya untuk sistem elektronik dan bantuan penunggang. Ia sekaligus menjadikan model ini sebagai antara yang termaju dalam pasaran.

Teknologi pada model ini semakin canggih dengan penambahan pakej Advanced Rider Assist System (ARAS) baru daripada Bosch, yang terdiri daripada Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Warning (FCW) dan Blind Spot Detection (BSD).

Untuk ACC, apabila kelajuan sudah ditetapkan oleh penunggang, sistem pada motosikal boleh melaras kelajuan untuk mengikut jarak yang dipilih dengan kenderaan di hadapan, sekiranya ada. Fungsi BSD pula mengeluarkan lampu amaran pada cermin sisi sekiranya ada kenderaan di titik buta. Semua sistem ini menggunakan input yang diterima daripada sensor radar yang diletakkan di hadapan dan belakang motosikal.

Selain daripada itu, H2 SX SE 2022 juga dipasang dengan Tire Pressure Monitoring System (TPMS), Vehicle Hold Assist (VHA), Kawasaki Intelligent Proximity Activation Start System (KIPASS) serta unit IMU ABS 10.3ME baru.

Operasi semua sistem baru ini boleh dilihat melalui panel instrumen TFT 6.5 inci berwarna penuh baru, yang diletakkan di bahagian kokpit. Ia juga boleh disambungkan kepada aplikasi Smartphone-based Infotainment (SPIN) di telefon pintar, untuk memberikan fungsi seperti paparan log perjalanan dan informasi motosikal di telefon, serta notifikasi panggilan atau mesej pada panel instrumen. Selain daripada itu, sistem ini juga boleh digunakan dengan fungsi mirroring bagi aplikasi tertentu.

Enjin secara asasnya masih lagi adalah unit empat silinder 998 cc supercharge berkuasa 200 PS pada 11,000 rpm dan 137.3 Nm tork yang sama, tetapi pemasaan cam telah dilaras semula untuk memberikan penyampaian kuasa yang lebih baik pada tahap rpm rendah dan pertengahan.

Prestasi motosikal ini turut ditambah baik dengan keseluruhan sistem ekzos baru serta gigi gear kedua yang ditukar pada transmisi enam kelajuannya. Penutup rumah klac direka semula untuk menjadikannya lebih kuat dan kurang bunyi operasi sementara jumlah bendalir dalam sistem klac diubah untuk memberikan operasi yang lebih lancar.

Turut tidak dilupakan dalam naik taraf tahun 2022 ini adalah sistem suspensi, di mana H2 SX SE mendapat unit Kawasaki Electronic Control Suspension (KECS) dengan teknologi Showa Skyhook EERA, yang dilaksanakan oleh fork Showa 43 mm di hadapan dan monoshock Showa Balance Free Rear Cushion (BFRC) di belakang.

Melalui sistem suspensi elektronik ini, penunggang boleh memilih empat mod iaitu Sport, Road, Rain dan Manual, manakala untuk pra beban di belakang, mereka boleh memilih tiga mod. Selepas mod dipilih, sistem suspensi ini akan memberikan maklum balas serapan paling ideal dengan mengambil kira laju motosikal, pergerakan suspensi serta pengurangan kelajuan (mengikut parameter mod masing-masing).

Pada bahagian brek pula, H2 SX SE 2022 dipasang dengan sistem baru yang terdiri daripada cakera 320 mm berkembar dengan angkup Brembo Stylema empat piston di hadapan dan cakera 250 mm dengan angkup dua piston di belakang. Melengkapi naik taraf pada bahagian roda adalah tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22.

Bagi menyesuaikan motosikal ini dengan peningkatan yang diberi, panel badannya diubah (paling ketara di bahagian hadapan) bagi memuatkan unit radar pengesan. Cermin sisi serta lampu LED pada motosikal ini juga adalah baru.