Semasa acara Thailand Motor Expo baru-baru ini, Yamaha telah menunjukkan satu kit khas untuk model XSR155 yang dibuat dengan kerjasama Zeus Custom dan mengubah suai bentuk motosikal tersebut menjadi sebuah cafe racer. Hanya 100 unit ditawarkan kepada pasaran, dan dalam masa beberapa jam sahaja selepas jualannya dibuka, ia terus habis.
Zeus Custom adalah sebuah syarikat yang banyak membuat kerja ubah suai kustom motosikal dan kit untuk XSR155 ini dibuat sendiri oleh mereka, termasuk fender hadapan lebih pendek, perumah lampu hadapan, pemegang jenis clip on, hiasan pada tangki, tempat duduk cafe racer, fender belakang lebih pendek serta panel tepi berlubang.
Hos brek turut ditukar dengan unit yang lebih pendek dan setiap kit akan dipasang dengan plet khas yang menandakan nombor keluarannya pada bahagian atas triple clamp dan panel tepi. Penampilan keseluruhan disempurnakan dengan warna kelabu matte dan coklat.
Memandangkan ini cuma adalah kit penggayaan, bahagian mekanikal tidak diusik. Dalam keadaan asal, XSR155 datang dengan enjin satu silinder SOHC VVA 155 cc yang mampu menghasilkan kuasa 19.3 hp dan 15 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.
Dijual pada harga bermula 91,500 Thai baht (RM12,364), XSR155 datang dengan kelengkapan lain seperti fork teleskopik, monoshock di belakang, brek cakera hadapan belakang, rim aluminium 17 inci serta tangki bahan api 10 liter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.